Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukma Sarawak: Pembekal alat sukan lapor polis, SPRM, KBS
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: Oct 13, 2024 5:23 AM

Sebuah syarikat pembekal peralatan sukan antarabangsa mengesyaki ada yang tidak kena di sebalik gangguan teknilal semasa temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, bulan lalu.

Perkara itu membuatkan Daedo Malaysia membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tindakan itu dibuat susulan mereka dipersoal atas penggunaan sistem penilaian pelindung (PSS) atau sistem mata perlawanan untuk sukan taekwondo, walaupun tidak membekalkannya pada tahun ini.

"Pada 22 Ogos, kami menerima panggilan daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), bertanya mengenai kelemahan sistem penilaian pelindung (PSS) jenama Daedo yang kononnya digunakan sukan taekwando dalam temasya dwitahunan itu.

"Kami terkejut dengan panggilan itu dan memberitahu SSC bahawa kami tidak menyediakan perkhidmatan PSS sebaliknya hanya menyediakan 16 pelindung kepala berharga RM38,214.60.

"Susulan itu, kami mendapati ada pihak menyalahgunakan nama kami dan kami telah membuat laporan polis dan juga laporan SPRM," kata jurucakap itu.

Bagaimanapun, kata syarikat itu, polis memberitahu akan merujuk kepada SPRM manakala SPRM pula berkata akan merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Daedo Malaysia berkata PSS itu mungkin disewa daripada negara jiran.

Acara taekwondo berlangsung empat hari bermula 17 Ogos. Penganjur terpaksa menukar PSS lain untuk meneruskan acara itu.

Semasa kejadian, peminat sukan itu mengebu tanda protes.

‘Gangguan frekuensi radio’

Sementara itu, Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia Dhanaraj Rassiah memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak terlibat dengan pembelian PSS untuk kejohanan itu.

Dia juga menjelaskan gangguan teknikal yang menyebabkan kelewatan perlawanan berpunca dariapada gangguan frekuensi radio peralatan komunikasi lain.

Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia Dhanaraj Rassiah

Katanya, penggunaan sistem PSS jenama lain juga mendapati masalah sama berlaku.

“Oleh itu, pada hari ketiga, KDT serta semua pengurus pasukan negeri telah mengambil keputusan untuk menghentikan siaran langsung RTM serta peralatan yang menggunakan frekuensi radio,” katanya.

Jelasnya, masalah serupa berlaku dalam sukan Silat semasa temasya Sukma baru-baru ini.

Dia bagaimanapun menyuarakan rasa tidak senang dengan tindakan Daedo Malaysia yang  didakwa mengheret nama mereka dalam laporan SPRM.

Sementara itu, Dhanaraj berkata SSC memaklumkan kepada mereka bahawa tuduhan berkaitan sewaan peralatan tersebut adalah tidak benar.

Dia bagaimanapun berkata segala proses mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Untuk makluman peralatan tersebut adalah hak milik SSC serta pihak jawatankuasa teknikal Sukma telah membuat pemeriksaan peralatan sebelum dan selepas pertandingan," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Menteri Belia dan Sukan dan Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim dan masih menunggu maklum balas mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS