Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
ULASAN | Penswastaan: Satu impian tanpa kemungkinan

Ada yang menyuarakan pandangan bahawa pasukan bola sepak profesional liga super tidak seharusnya dibiayai kerajaan. Tidak wajar duit pembayar cukai digunakan untuk membiayai pasukan bola sepak profesional, kata mereka. Ia ‘urusan swasta’ dan seharusnya dibiayai pihak swasta!

Pandangan sebegini mungkin berdasarkan amalan di negara-negara di Eropah seperti England dengan EPL-nya dan Itali dengan La Liganya dan sebagainya. Akan tetapi ini adalah negara-negara di mana industri bola sepaknya telah jauh maju dan bola sepak diterima sebagai bukan sahaja sukan nombor satu tetapi juga budaya dan sebahagian cara hidup rakyat.

Realitinya di Malaysia

Keadaan sebegitu belum lagi wujud di negara Malaysia. Mereka yang berpandangan sebegini juga lupa sebab mengapa liga super dan kerjaya bolasepak profesional diperkenalkan. Sepertimana dijelaskan dalam tulisan saya yang lepas, bahagian kedua, meningkatkan kemahiran berbolasepak dan membangunkan industri bola sepak adalah satu agenda nasional.

Oleh itu, sambil usaha membangunkan industri bola sepak sehingga ke tahap ‘commercially viable’ sehingga mampu berdikari sedang diusahakan, kerajaan perlu membantu ke arah kelestarian industri sukan ini. Buat masa ini, perbelanjaan untuk membiayai pasukan bolasepak profesional di Malaysia bagaikan ‘bottomless pit’ di mana duit dibelanjakan tanpa mendapat pulangan yang setimpal. Ia sebuah ‘very costly centre’ dan bukan ‘profit centre’. Ini hakikatnya dan tidak mungkin akan ada mana-mana perniagaan swasta akan sanggup, secara sendiri, membiayai pasukan bola sepak liga super, kecuali orang seperti TMJ. Dan berapa ramai individu seperti TMJ yang wujud di Malaysia ini?

Oleh kerana itu, cadangan cara-cara membangunkan industri sukan bola sepak mesti mengambil kira hakikat ini dan berpijak di bumi yang nyata.

KLFA dan usaha penswastaan

KLFA telahpun berusaha, 2 kali sebelum ini, untuk menswastakan pasukan bola sepaknya, KL City FC, tetapi malangnya tidak berjaya. Itu pun untuk menjual hanya 51 peratus saham KL City FC.

Kali pertama pada 2021, dengan syarikat pilihan Annuar Musa. Akibatnya KLFA kehilangan kontrak penyelenggaraan Stadium KL dan kawasan parkir kereta Stadium yang sebelum ini di bawah jagaan KLFA. Ia sebaliknya diserah kepada syarikat pilihan Annuar Musa semasa beliau Menteri WP, melalui ‘tender’ yang sangat tertutup. Dan penswastaan gagal apabila syarikat berkenaan tidak mampu meneruskan pembelian saham KL City FC. Hanya sekadar meletakkan sejuta lebih dan telah ‘kiyok’ selepas itu.

Usaha kali kedua dilakukan pada awal 2023 dan usaha itu pun telah gagal setelah syarikat berkenaan melaburkan lebih RM2 juta dan selepas itu tidak mampu meneruskan lagi. Ini adalah kerana duit keluar berjuta setiap bulan, sambil yang masuk terlalu sedikit.

Cabaran dalaman yang dihadapi

Banyak cadangan dan banyak pandangan. Dalam KLFA juga tak semua sealiran. Ada juga yang pernah berkata, “lupakan sahaja. Kita bina team yang cekai dan kita jual jer”. Ada juga yang cuba untuk ‘sabotaj’ usaha penswastaan dengan mengeluarkan kenyataan dalam akhbar bahawa, “pasukan ini bukan untuk dijual”. Dan begitu juga kenyataan ingin “keluarkan pasukan KL City dari Liga Super”.

Ini semua usaha sabotaj kerana kalau tidak untuk dijual dan akan ditarik keluar liga, maka pelabur mana yang sanggup meletakkan wangnya? Walaupun keputusan untuk jual dan menyertai Liga Super telah lama dibuat, individu-individu berkenaan sanggup langgar semua keputusan sebelum ini kerana mempunyai agenda tersendiri. Lebih-lebih lagi bila tahun ini adalah tahun pemilihan.

Kaedah yang perlu diamalkan ke arah penswastaan

Pertama, ia perlu dipersetujui bahawa membangunkan industri sukan bola sepak di negara ini adalah satu agenda nasional. Ia bukan agenda peribadi atau pihak swasta yang melibatkan diri dalam bidang ini sebagai hobi yang disukai mereka. Atau untuk perhabiskan duit kerana dah terlalu banyak duit.

Apabila ini disedari dan dipersetujui maka kerajaan serta FAM dan MFL mesti memudahkan kesinambungan pasukan yang sedia ada terlibat dalam liga super dengan disediakan insentif untuk pihak swasta mengambil bahagian dan pemilikan saham pasukan bolasepak liga super.

Sambil itu diberikan jaminan bahawa pihak kerajaan akan sentiasa bersama dan membantu dengan penuh komitmen. Kerajaan tidak boleh lepas tangan dalam usaha untuk menjayakan industri bola sepak negara dan akan bersama berusaha mencari penyelesaian.

Dengan disediakan sedikit insentif dan pemantauan bersama, pihak individu yang kaya-raya dan pihak swasta yang berkemampuan akan lebih berani untuk bersama dalam usaha membangunkan industri ini. Ia sepertimana juga usaha membangunkan industri lain di negara kita di mana disediakan kelebihan-kelebihan seperti ‘pioneer status’, ‘tax incentive’ dan sebagainya.

Ini bererti perspektif kita terhadap liga dan bola sepak perlu berubah seperti mana juga cara kita ingin kendalikannya. Ia perlu dilihat dan dilayan sebagai industri yang baru yang ingin dibangunkan, maka barulah ia boleh berkembang sehingga menjadi sesuatu yang viable. Namun ia pasti akan memakan masa.

Sekiranya sebaliknya maka sudah pasti pasukan pasukan Liga Super akan bermasalah dari sudut kewangan. Bunga-bunga ini sudah lama kelihatan. KL City menghadapi masalah ini sejak dulu lagi tanpa dihebohkan media seperti sekarang. Mungkin oleh kerana tahun ini tahun pemilihan maka ada yang ingin mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri sebagai hero.

Kesimpulan

Liga profesional membekalkan pemain-pemain negara. Tanpa adanya liga ini, negara akan ketandusan pemain yang berkualiti tinggi. Dengan adanya liga ini negara mampu mempertengahkan bakat terbaik sebagai yang mewakili negara.

Liga pula perlukan pasukan-pasukan profesional yang berkualiti dan ini menelan belanja yang besar, lebih-lebih lagi kalau adanya pemain import. Hanya cara ini dapat mendedahkan pemain-pemain tempatan kepada kualiti mainan antarabangsa.

Oleh itu satu usaha sama swasta dan awam/kerajaan perlu diadakan untuk memungkinkan industri sukan bolasepak bertapak dan bermaju jaya. Lagi cepat hakikat ini diakui dan ditangani secara terancang, lebih baik untuk industri sukan bola sepak negara.

Kesan positif adanya liga profesional terhadap mutu bolasepak negara sudah mula jelas kelihatan. Prestasi pasukan kebangsaan, pasukan bawah 23 dan bawah 20 semakin menyerlah di pentas antarabangsa.


KHALID SAMAD ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Bekas Ahli Parlimen Shah Alam. Beliau juga merupakan bekas Presiden Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS