Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Para SUKMA: Jurulatih memanah kenal pasti ramai bakat baharu
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Sebanyak dua rekod kebangsaan lebur sepanjang lima hari acara memanah berlangsung pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya di Kuching, Sarawak.

Ketua Jurulatih Memanah Para Negara Marzuki Zakaria berkata peningkatan prestasi atlet muda dan wanita berjaya dikesan pada Para SUKMA kali ini, selain pihaknya telah mengenal pasti beberapa bakat baharu yang boleh diketengahkan.

“Seperti skuad memanah Pahang yang berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 2013, jadi itu pencapaian tinggi untuk seorang pemanah. Beberapa nama telah dikenal pasti dan kita akan cuba mengetengahkan lagi pada kejohanan yang lebih besar.

“Persediaan ke arah elit agak jauh tapi kita mula pada peringkat kebangsaan, sebab kita tahu pemanah Para SUKMA, walaupun bagus tapi masih banyak kekurangan dari segi teknik dan skil yang perlu diperbaiki. Kita akan membuat perancangan yang wajar untuk membawa mereka ke peringkat tinggi,” katanya.

Saingan memanah Para SUKMA yang berakhir hari ini menyaksikan Pahang muncul kontinjen terbaik selepas mengumpul lima emas, satu perak dan satu gangsa daripada 14 emas yang ditawarkan, diikuti Perak (4-3-3) dan Kuala Lumpur (2-1-2).

Antara yang mencuri tumpuan ialah atlet recurve wanita Pahang Loh Chi Hui yang meraih empat emas, selain memecahkan rekod para kebangsaan acara individu wanita 70 meter (m) dengan catatan 574 mata pada pusingan kelayakan, melepasi catatan 504 mata yang dilakukan Nor Sa'adah Abdul Wahab di Kejohanan Memanah Para Dunia 2013 di Bangkok.

Selain itu, gabungan mata Chi Hui bersama Ahmad Jaffri Jamaluddin (1,153) turut mengatasi rekod kebangsaan bagi acara berpasukan campuran milik S. Suresh dan Jennyla Kueh (1,093 mata), yang dilakukan pada 2019, selain turut meraih emas acara individu wanita dan pasukan wanita bersama Nurfatin Afifah Mohamed Sa’ari.

Turut mencuri tumpuan ialah wakil Perak Nurul Farha Abdul Hamid, yang merangkul empat pingat emas bagi disiplin compound.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS