Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tak patut Terengganu seri lawan kelab Vietnam - jurulatih 
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 1:30 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Ketua jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner mengakui kecewa gagal memanfaatkan sebaik mungkin aksi di laman sendiri untuk mengutip mata penuh berdepan kelab dari Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC (DATH FC) dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 malam tadi.

Beliau berkata kesilapan individu menjadi punca skuad Penyu terlepas banyak peluang keemasan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus.

“Kita tidak sepatutnya seri. Kita bermain dengan baik dan mendahului dengan dua gol pada separuh masa. Kita mengawal permainan tapi hanya kerana satu kesilapan kita kehilangan bola dan keyakinan pun menurun.

“Saya rasa kita mempunyai masalah melakukan set piece dan ini bukan kesilapan pertama. Terdapat juga kesilapan individu tapi keseluruhannya kita menunjukkan permainan yang baik,” katanya selepas aksi malam tadi.

Sementara itu pengendali DHAT FC, Velizar Emilov Popov berkata beliau berpuas hati membawa pulang satu mata di tempat lawan.

Beliau berkata anak buahnya telah mempamerkan mutu permainan yang baik dan semangat juang tinggi walaupun ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama.

“Sayangnya kami terlepas dua gol pada separuh masa pertama. Tapi berdepan Terengganu adalah satu perlawanan sukar kerana mereka pasukan kuat.

“Tambahan pula, pemain saya agak keletihan selepas perlawanan sebelumnya selain menempuh perjalanan panjang ke sini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS