Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Nafuzi bangga sikap profesional pemain KDA FC
Diterbitkan:  Sep 21, 2024 9:14 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain berkata dia berbangga dengan profesionalisme tinggi ditunjukkan pemainnya ketika beraksi cemerlang menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Menurut Mohd Nafuzi, walaupun KDA FC menghadapi masalah dalaman, kesungguhan dan komitmen para pemain di sepanjang perlawanan membuktikan kasih sayang mereka terhadap pasukan, penyokong, dan negeri Kedah.

“Satu mata yang berharga, dan terima kasih kepada pemain yang membantu saya dalam perlawanan ini.

"Komitmen dan kesungguhan pemain adalah luar biasa walaupun mereka tidak dapat bermain seperti sebelum ini kerana keadaan fizikal yang tidak begitu cergas.

“Hanya dua sesi latihan diadakan sebelum mereka boikot latihan, dan empat hari sebelum perlawanan ini, kami berlatih dalam keadaan hujan dengan tahap kecergasan pemain yang rendah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan KDA FC dan Sri Pahang FC berkongsi satu mata apabila terikat 2-2.

Mohd Nafuzi juga merayu kepada peminat Hijau Kuning untuk terus memberikan sokongan padu dan menghargai pengorbanan pasukan yang kini berdepan isu dalaman yang belum diselesaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nafuzi berkata bahawa KDA FC tidak akan mendaftarkan pemain baru pada jendela perpindahan kali ini sebaliknya cuma memperkuatkan pasukan dengan pemain sedia ada bagi mengharungi baki saingan liga.

“Sejujurnya, kami tidak boleh mendaftar pemain baru kerana masalah kami belum selesai.

"Cukup dengan pemain yang ada sekarang untuk membuat perubahan. Untuk mendapatkan pemain baru, itu memang tidak dapat dilakukan, sudah tertutup,” katanya.

Sementara itu ketua jurulatih Sri Pahang Fandi Ahmad pula berkata dia menyedari masalah yang dihadapi KDA FC dan merasakan anak buahnya mampu memenangi perlawanan tersebut.

Bagaimanapun kata Fandi KDA FC memberikan tentangan hebat sehingga berjaya mengikat keputusan untuk seri.

“Bagi saya keputusan itu adil buat kedua-dua pasukan, mereka (Kedah) ada peluang dan kami pun ada peluang menjaringkan gol, masing-masing mempunyai peluang dan keputusan 2-2 kami rasa adil buat kami,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS