Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 8:04 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-14, 21-13, pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum hari ini.

Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada aksi separuh akhir esok.

Ha Na-So Hee selaku beregu pilihan pertama kejohanan mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-8, 21-18.

Pearly-Thinaah yang melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 mengalahkan Ha Na-So Hee 21-18, 21-13 pada saingan separuh akhir Terbuka Korea bulan lepas, tetapi terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara selepas tewas 12-21, 11-21 kepada satu lagi beregu wanita tuan rumah Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun selaku pilihan keempat kejohanan turut mara ke suku akhir selepas pasangan tuan rumah Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau menarik diri daripada meneruskan perlawanan dengan keputusan 21-4, 4-1.

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir pasangan China Gua Xin Wa-Chen Fang Hui.

Satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut lolos ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan Lin Bin-Wen-Lin Chih Chun 21-14,21-15.

Di suku akhir kelak, gandingan di kedudukan ke-40 dunia itu dijangka bertemu cabaran sukar apabila dijadual menentang gandingan pilihan pertama tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-16, 9-21, 13-21.

Selain Sze Fei-Nur Izzuddin, dua lagi beregu negara gagal melepasi halangan pusingan kedua dengan Lim Tze Jian-Wong Tien Ci tewas kepada wakil Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 9-21, 21-23 manakala pasangan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong kalah kepada beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-18, 13-21, 17-21.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS