Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Akmal akur pengadil hadiah tiga sepakan penalti pada JDT
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Pengendali Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli akur dengan keputusan pengadil menghadiahkan tiga sepakan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam tadi.

Beliau berkata sepakan penalti yang diberikan pengadil Razlan Joffri Ali itu adalah tepat dan tidak boleh dipertikaikan selepas disemak menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Saya rasa, saya tidak boleh pertikai (penalti) kerana Razlan ialah pengadil terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.

“Jadi, saya rasa beliau membuat keputusan tepat. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan pemain-pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Iskandar Puteri malam tadi.

JDT menewaskan Penang FC 5-0 menerusi dua sepakan penalti dan tiga gol padang selepas satu sepakan penalti yang diberikan gagal disempurnakan oleh pasukan Harimau Selatan itu.

Akmal Rizal bagaimanapun berkata pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang melakukan beberapa percubaan menarik dan hampir mengejutkan penjaga gawang juara bertahan itu pada babak pertama permainan.

Ia termasuk rembatan jarak jauh penyerang baharu Dylan Christopher Charles Wenzel Halls pada minit ke-19 yang berjaya diselamatkan penjaga gol JDT Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

“Inilah bola sepak, jika kita tidak memanfaatkan peluang menjaringkan gol maka inilah yang berlaku (tewas). Bagaimanapun, kita akan melihat bagaimana perancangan terbaik harus dilakukan untuk perlawanan seterusnya bertemu Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain termasuk empat pemain yang membuat penampilan pertama malam tadi iaitu Jorge Obregon, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov.

“Pemain-pemain baharu kami membantu pasukan dengan baik dan memahami falsafah dan misi kelab.

“Saya sentiasa gembira dengan persembahan pemain-pemain saya. Keinginan untuk menang dalam perlawanan ini sangat tinggi dan kami mendominasi permainan sejak awal lagi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS