Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Bekas pelumba Cub Prix maut ditetak: Polis cekup 3 lelaki
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 9:37 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto3 dan Cub Prix negara Elly Idzlianizar Elias disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas terbabit dalam pergaduhan di Kangar pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan telah berlaku di Taman Behor Gonchar Jaya di Kangar pada 11.13 malam.

Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar dalam keadaan marah sebelum pergaduhan tercetus.

“Polis menerima maklumat mengenai pergaduhan telah berlaku di Taman Behor Gonchar Jaya pada 11.13 malam, Selasa lepas dengan butiran bekas pelumba negara itu cedera parah dan telah dihantar ke HTF dengan menaiki ambulans.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia lebih kurang 12.01 tengah malam, 11 Sept. Hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar, Kedah) mendapati mangsa maut disebabkan pendarahan teruk akibat luka tetakan berganda sebanyak 12 kesan tetakan," katanya pada sidang media di Kangar semalam.

Yusharifuddin berkata susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 28 hingga 51 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan sekitar Perlis kelmarin dan merampas sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter (cm) dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek itu dipercayai kawan kepada mangsa dan punca kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham sekali gus menjurus kepada motif pergaduhan sehingga menyebabkan kematian.

"Polis turut merampas sebuah kereta jenis proton Iriz warna biru dengan keadaan cermin hadapan retak dan terdapat kesan tompokan serta kesan warna merah dipercayai darah.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai antara empat hingga 11 rekod lampau melibatkan kes jenayah (seperti) kes cubaan bunuh, ugutan jenayah, khianat dengan api, merusuh menggunakan senjata, curi kenderaan, judi dan dadah,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ini direman hingga 17 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, Elly Idzlianizar mula mencipta nama dalam perlumbaan tempatan Cub Prix dan turut terpilih untuk menyertai program pencarian pelumba atas tiket peluang khas negara untuk beraksi dalam Grand Prix Malaysia pada 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS