Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
MB Kedah diminta campur tangan isu tunggakan gaji pasukan KDA FC
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta campur tangan dalam isu tunggakan gaji yang didakwa sedang dihadapi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kedah Muhammad Najib Mohd Taib berkata pihak berkuasa negeri perlu memberikan sokongan dan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan pasukan bola sepak negeri itu dapat beroperasi dengan baik dan mencapai kejayaan.

“Dialog terbuka antara pihak pengurusan KDA FC, peminat dan pihak berkepentingan juga perlu diadakan untuk mencari penyelesaian terbaik yang dapat memulihkan keadaan.

“Kami yakin bahawa dengan campur tangan dan sokongan Menteri Besar Kedah, masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Muhammad Najib berkata pihaknya berasa bimbang dengan krisis berkenaan yang menurutnya memberi kesan kepada prestasi pasukan dan sokongan peminat serta pembangunan sukan bola sepak negeri itu.

KDA FC merupakan simbol kegemilangan bola sepak Kedah dan mempunyai peranan penting dalam memupuk semangat kesukanan khususnya dalam kalangan belia, tambah beliau.

“Isu yang dihadapi kini telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan peminat dan pihak berkepentingan, kami percaya campur tangan daripada pihak berkuasa negeri, khususnya Menteri Besar Kedah adalah sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Mohd Safwan Jaafar menyifatkan situasi dalam KDA FC itu menyebabkan pemain menjadi tertekan sehingga memboikot sesi latihan pasukan.

“Pasukan bertambah kritikal apabila ramai pemain ingin meninggalkan pasukan akibat terlalu tertekan dan ini sudah pasti akan memberi kesan kepada prestasi KDA FC.

“Jadi kami menyeru agar pihak bertanggungjawab keluar dengan idea bernas agar dapat mengubati pasukan KDA FC yang kritikal ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pemain KDA FC memboikot sesi latihan sejak beberapa hari lepas ekoran dakwaan tidak menerima bayaran gaji sejak beberapa bulan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS