Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Melihat kepada pergolakkan dalam pemilihan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) baru-baru ini mendorong saya menulis berkenaan KLFA dan cabaran dihadapi presiden dan barisan exconya.

Cabaran utama sesiapa yang menjadi presiden KLFA adalah cabaran kewangan. Pasukan bola sepak di bawah jagaannya adalah pasukan bola sepak profesional KL City FC, sepertimana juga pasukan Bawah 24, Bawah 20, Bawah 18 dan pasukan Liga A1 ia itu KL Rovers. Sambil itu KLFA perlu juga menjaga urusan kelab gabungan serta Liga Kuala Lumpur. Perbelanjaan sebulan mencecah RM 1.4 juta sedangkan KLFA tiada sumber pendapatan selain sumbangan atau tajaan.

Cabaran kedua adalah kata sepakat antara ahli jawatan kuasa exco KLFA dengan adanya wawasan dan cita-cita yang dikongsi bersama. Setiap anggota exco seharusnya bekerja keras menyumbang kepada keperluan KLFA dengan mencari penaja sambil menguruskan pasukan di bawah jagaannya dan memainkan peranan yang ditetapkan KLFA untuknya.

Sekiranya kedua-dua aspek ini dapat diurus dengan baik maka KLFA dan pasukan-pasukan di bawah jagaannya, serta kelab-kelab gabungan dan Liga KL itu sendiri akan dapat berprestasi dengan cemerlang.

Kemelut KLFA 2020-2022

Pada November 2019 saya dipilih sebagai presiden KLFA ketika saya Menteri Wilayah Persekutuan. Saya telah menetapkan bajet sebanyak RM10 Juta setahun untuk KLFA yang akan disumbangkan oleh DBKL sebagai penaja utama KLFA. Sebagai balasan nama DBKL akan terpapar megah di jersey KL City FC dan dipamerkan di papan-papan iklan Stadium Cheras.

Malangnya kerajaan PH jatuh pada Febuari 2020 dan KLFA hanya sempat menerima RM5 juta dari bajet yang telah diluluskan sebelum itu. Menteri Wilayah Persekutuan baru Anuar Musa, tidak luluskan bayaran RM5 juta kedua yang dijadualkan pada pertengahan 2020. Maka KLFA terpaksa cari wang dari sumber lain.

Pada 2021 dan 2022 keadaannya begitu juga walaupun bertukar Menteri Wilayah Persekutuan dengan datangnya Shahidan Kassim. KLFA terus ditekan dengan sumbangan yang kurang dari separuh dari yang diperlukan.

Saya turut diasak untuk meletakkan jawatan sebagai presiden termasuk oleh beberapa exco KLFA yang rapat dengan menteri wilayah persekutuan pada masa itu. Mereka bukan mendesak supaya Menteri Wilayah Persekutuan menambahkan bajet seperti yang diperlukan tetapi sebaliknya menggunakan kekangan kewangan sebagai alasan mendesak saya letak jawatan.

Ada exco yang membuat laporan SPRM terhadap KLFA pada 2021. Kononnya ada penyelewengan wang sedangkan wang tidak ada, nak seleweng macam mana?

Mungkin mereka marah kerana tidak merasa duit RM5 juta itu. Sebelum ini KLFA tak pernah dapat tajaan DBKL sebanyak RM5 juta. Tajaan dicapai melalui pemberian tanah yang dijual atau dimajukan bersama pemaju pilihan. Maka KLFA sangat mewah. Bajet KLFA untuk tahun 2019 melebihi RM15 juta.

Namun demikian, walaupun terpaksa menghadapi cabaran cabaran ini, prestasi KL City FC yang di bawah jagaan KLFA sangat memberangsangkan. Pada 2020 KL City naik ke Liga Super. Pada 2021 KL City menjadi Juara Piala Malaysia. Pada 2022 KL City menjadi Naib Juara Piala AFC. Dalam keadaan setiap bulan kekeringan, terpaksa merayu untuk sumbangan dan tajaan sambil menangani politiking dalaman.

Kalau wang mencukupi, tidak dikhianati, pasti prestasi lebih cemerlang.

KLFA pada 2023 - sekarang

Naiknya kerajaan PH pada hujung 2022 menjanjikan harapan baru bagi saya. Untuk tahun 2023 saya berjaya mendapat RM8 juta untuk KLFA. Terima kasih Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Pada tahun itu juga KL City maju ke final FA Cup tetapi kalah 2 - 0 melawan JDT di Stadium Johor.

Namun pada hujung 2023 suasana berubah. Tanpa adanya perdana menteri memantau, DBKL mula menyekat sumbangan kewangannya kepada KLFA. Saya diminta letak jawatan sebagai presiden sebelum wang DBKL akan disalurkan. Exco-exco yang berpolitiking sejak 2020 turut mendesak saya letak jawatan. Oleh kerana keadaan sangat mendesak, sehingga kemungkinan KL City hilang lesen Liga Supernya, saya letak jawatan. Duit mula masuk. Tetapi masih disekat-sekat.

Hingga September 2024 KLFA hanya menerima RM4 Juta berbanding RM8 juta untuk 2023. Ramai bising mendesak untuk KLFA membayar gaji pemain dan kakitangan. Tetapi dengan duit apa? Walaupun saya bukan lagi presiden KLFA, saya sangat mengambil berat keadaan semua pemain dan kakitangan dan hingga kini sedang menanggung hutang ratusan ribu untuk menjamin kesinambungan pasukan pasukan di bawah jagaan KLFA.

Memetik kata-kata Bojan Hodak sebelum dia meninggalkan KL City, “Tiga final dalam tiga tahun, tetapi adakah sesiapa kisah?”. Ya, ramai ‘ambil kisah’, tetapi tiada yang membantu, bersikap tiada obligasi dan hanya menjadi sebagai penonton kepada saga KLFA.

Walaupun begitu, pasukan bola sepak Kuala Lumpur, yang terdiri daripada pemain-pemain di bawah jagaan KLFA, muncul juara SUKMA 2024. Jurulatih pasukan SUKMA, yang juga dari KLFA, sehingga menitis air mata mengadu kekurangan kewangan.

Pada masa yang sama KL City kalahkan Kaya FC juara Liga Filipina, 1 - 0 dalam pertandingan kejuaraan Cup Shoppee di peringkat ASEAN.

Mencari rakan kongsi KL City

Bagi yang ingin memimpin KLFA bagi sesi akan datang, tentukan pasukan jawatan kuasa exco yang dipilih bersatu hati dan bekerja keras mencari tajaan dan penyumbang. Dapatkan RM8 juta dari DBKL sepertimana pada 2023 dan RM6 juta lagi dari sumber yang lain. Antara sumber ini, selain tajaan korporat, adalah rakan kongsi bagi KL City yang mesti dikenal pasti seperti mengikut kehendak FIFA.

Malangnya, usaha mencari rakan kongsi sejak 2020 telah menemui kegagalan. Namun ia wajib diusahakan. Usaha ini diteruskan sehingga sekarang tetapi ada juga yang khianat dan sabotaj dengan mengatakan “kelab ini bukan untuk dijual”. Ini telah menyebabkan rundingan terhenti dan yang berminat untuk menjadi rakan kongsi dalam KL City menunda keputusan mereka. Mereka mahu melihat siapa yang akan dipilih untuk memimpin KLFA dan dengan sendirinya KL City juga.

Sikap DBKL terhadap KLFA dan KL City juga diambil berat mereka. Kalau DBKL bersikap “tiada obligasi”, sudah pasti mereka akan menjauhkan diri. Tetapi kalau adanya komitmen untuk terus mengusahakan satu kelab bola sepak profesional bersama, peluang mereka menjadi rakan kongsi adalah lebih cerah.

Rumusan kepada Saga KLFA - Bahagian 1

Sebenarnya cabaran yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang ingin menjadi presiden KLFA, dan barisan exconya, sangat mencabar. Mungkin itulah antara sebabnya menteri-menteri menawarkan diri. Dengan keputusan kabinet baru-baru ini yang tidak membenarkan perkara itu, ini bukan lagi satu pilihan.

Yang perlu dilakukan adalah mendapat sokongan dan komitmen dari DBKL yang secara tradisinya telah menyokong KLFA dan KL City sekian lama. Arwah Elyas Omar akan sentiasa diingati oleh warga KL sebagai Datuk Bandar yang mengasaskan dan membina pasukan Bolasepak Kuala Lumpur. Jasanya terhadap sukan bola sepak KL tidak akan dilupai.

Yang kedua adalah untuk menjamin barisan exco yang komited dan fokus kepada kejayaan KLFA dan KL City serta pasukan lain di bawah jagaan KLFA. Hentikan politiking dan budaya khianat dan tumpu kepada tanggung-jawab masing-masing.

Yang ketiga adalah untuk mencari rakan kongsi, atau rakan-rakan kongsi, untuk KL City, supaya bebanan kewangan ke atas DBKL dan KLFA sendiri dapat dikurangkan secara berfasa.

Dan sambil menguruskan cabaran ini semua, prestasi KL City di padang perlu terus dipertahankan dan dilonjakkan.

Selamat maju jaya kepada barisan pimpinan baru. Sampai mati Kuala Lumpur.


KHALID SAMAD merupakan bekas presiden KLFA dan bekas menteri wilayah persekutuan.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS