Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Malaysia paling kuat apabila semua kaum bersama'
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Pada pagi seluruh negara meraikan detik bersejarah Hari Kebangsaan ke-67, legenda badminton sempat mengenang kembali zaman kanak-kanaknya apabila ketika itu masyarakat hidup aman damai tanpa mengira latar kaum.

Bahkan kata Lee Chong Wei kekuatan Malaysia terletak pada faktor tersebut.

Menceritakan kenangan puluhan tahun silam, Chong Wei berkata dia sempat meminati sukan bola sepak dan pernah bermain dengan kawan-kawannya semasa kecil.

Ketika itu, katanya, seperti ada "wahyu" bahawa kedudukan tiang gol akan ditentukan dengan kedudukan kasut yang diletakkan pada posisi tertentu.

"Kawan-kawan Melayu yang lincah main striker atau playmaker. Kawan India yang kaki maraton main winger. Yang Cina main midfield.

"Yang (jadi) defend tak kisah kaum. Yang tak boleh lari sangat tapi pandai belajar, nerd… dialah defend.

"Yang jadi keeper biasalah… Mr Big Show kelas," katanya.

Untuk mencapai kemenangan, kata bekas juara dunia itu lagi, semua pemain mesti berganding bahu tanpa mengira latar belakang masing-masing. Dan mereka bermain sehinggalah kedengaran azan Maghrib.

Tak ada darah ikut bangsa

Ketika itu, kata Chong Wei, semua budak akan bergegas balik "bagai lipas kudung" kerana bimbang dimarahi ibu masing-masing, sama ada mereka berbangsa India, Melayu, Cina , bumiputera atau sebagainya.

Paling akhir meninggalkan padang permainan, akui Chong Wei, ialah dirinya sendiri.

"Aku biasanya budak terakhir tinggalkan padang bersama Abeed dan Nagentheran. Aku pemilik bola. Abeed dan Nagentheran pemilik kasut tiang gol," katanya lagi.

Dengan amalan sebegitu, tambahnya lagi, negara boleh menjadi kukuh dan menguntungkan semua orang.

“Malaysia paling kuat apabila semua kaum bersama. (Kita) bersorak untuk sukan. Kita memaki hamun sesiapa yang kutuk makanan Malaysia.

"Kalau badan terkeluar darah, kita sama saja. Mana ada darah Cina, Melayu atau India.

"Semua darah merah jenis A, B, AB atau O. Tapi yang pasti, darah kita semua pasti pernah tertumpah di negara ini.

"Kita sebenarnya sangat sayang negara kita ni. Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia tersayangku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS