Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kelantan peruntuk insentif RM200,000 pada atlet raih pingat di Sukma 2024
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 5:51 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan insentif berjumlah RM200,000 kepada 37 atlet yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang melabuhkan tirainya Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada Khamis depan bagi membincangkan mengenai pemberian insentif itu sebelum diserahkan kepada atlet terbabit semasa majlis meraikan mereka dalam masa terdekat.

"Pemberian insentif ini adalah berdasarkan kadar MSN mengikut pingat yang diperolehi membabitkan kategori individu dan berpasukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Semarak Merdeka Kelab LandRover Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Konvoi yang membabitkan penyertaan 35 buah kenderaan Land Rover itu akan melakukan kembara selama dua hari bermula di Pasir Tumboh, Kota Bharu ke Lata Tembakah di Terengganu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

SUKMA 2024 menyaksikan kontinjen Kelantan berjaya membawa pulang 37 pingat iaitu tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa serta berada di kedudukan ke-14 daripada 15 kontinjen yang mengambil bahagian.

Pada temasya edisi ke-21 itu yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lepas, kontinjen Sarawak mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan merangkul 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan sebagai naib juara (75-65-72) dan Selangor di tangga ketiga (56-64-61).

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata kerajaan negeri juga akan memberi insentif sama kepada atlet Para SUKMA yang memperolehi pingat pada kejohanan berkenaan yang akan berlangsung 22 hingga 28 September depan.

Bagi individu atau gandingan dua orang berjaya mendapat pingat emas akan menerima insentif RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500), manakala bagi berpasukan melibatkan tiga hingga enam orang atlet pula sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada mereka yang meraih pingat emas, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).

Selain itu, ganjaran untuk acara berpasukan melibatkan tujuh orang atlet atau lebih ialah pingat emas (RM4,500), perak (RM3,500) dan gangsa (RM2,500).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS