Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya uji New Zealand Oktober ini
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 11:52 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland, 14 Okt ini.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini yang memaklumkan perlawanan itu bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 7 hingga 15 Okt 2024.

“Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006 dan tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006,” menurut kenyataan itu.

Skuad Harimau Malaya

Dalam kenyataan sama, FAM memaklumkan pasukan negara yang ketika ini berada di ranking ke-134 dunia berpeluang untuk memperbaiki mata ranking FIFA apabila berdepan Filipina (147) pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Kemenangan ke atas Filipina juga akan melayakkan pasukan bimbingan Pau Marti itu ke final Pestabola Merdeka 2024 pada 8 Sept ini, menentang pemenang perlawanan antara Tajikistan (103) dan Lubnan (116). 

Bagaimanapun sekiranya tewas, Malaysia akan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada hari yang sama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS