Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Presiden KL City: Dua menteri dapat 'kad merah'
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Hasrat dua menteri kabinet bagi bertarung untuk menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak kesampaian.

Ia susulan keputusan jemaah menteri yang memutuskan bahawa anggota pentadbiran tidak dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan persatuan sukan.

“Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA,” kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di akaun X miliknya.

Minggu lalu, Menteri Komunkasi Fahmi Fadzil juga mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu.

Malah, dia turut menamakan pembantu politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim Azman Abidin sebagai rakan sepasukannya.

Dengan keputusan kabinet hari ini, Fahmi juga turut mengikuti jejak langkah yang sama dengan Nik Nazmi.

Pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di Putrajaya, katanya, keputusan itu diambil susulan keputusan jemaah menteri hari ini untuk tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan. 

"Ia adalah berdasarkan satu keputusan Kabinet pada tahun 2007. Jadi kita putuskan hari ini bahawa kita akan teruskan amalan untuk tidak terlibat dan tiada pengecualian. 

"Berkuat kuasa serta-merta, saya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden KLFA," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin berkata ahli sukan enggan menerajui persatuan-persatuan ini kerana bimbang mereka dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dana.

Sementara itu, mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata dia akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat serta menyokong KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional.

Menurut Nik Nazmi, pada masa sama dia akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, antara kelab gabungan KLFA, yang diasaskannya pada 2018.

Kongres Pemilihan KLFA dijadual berlangsung pada 7 September ini bagaimanapun bergantung kepada keputusan SPRM ke atas persatuan itu.

Pada awal 2024, skuad KL City FC dilaporkan berdepan masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pemain dan kakitangan selama beberapa bulan.

KLFA sebelum ini diterajui bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sejak 2019, bagaimanapun dia meletakkan jawatan pada Mac lalu dan kini jawatan itu dipangku Abdullah Sani Abdul Hamid.

KL City FC pada musim lalu menamatkan persaingan di tangga ketujuh kedudukan Liga Super, jatuh satu kedudukan berbanding musim sebelumnya.

Skuad The City Boys kini dikendalikan jurulatih dari Croatia, Miroslav Kuljanac dan berada di kedudukan ke-11 selepas mengharungi lapan perlawanan Liga Super 2024.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS