Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua penerjun wanita Terengganu dipertimbang terima insentif Sukma - MB
Diterbitkan:  Aug 27, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: Aug 28, 2024 2:40 AM

Dua atlet wanita yang menyertai acara terjun dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tanpa kebenaran kerajaan negeri Terengganu tetap dipertimbang menerima insentif ekoran kejayaan merangkul dua pingat gangsa.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua atlet Terengganu termasuk Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran layak dipertimbangkan untuk menerima insentif yang akan ditentukan kelak.

“Inisiatif tetap ada, saya akan tunggu laporan penuh (prestasi Kontinjen Terengganu) sebelum buat keputusan.

“Ini juga termasuk apa diperoleh pihak yang menghantar (atlet terjun wanita) tanpa melalui kerajaan negeri,” katanya dilapor Kosmo!.

Ahmad Samsuri ditemui selepas mengiringi Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan merasmikan program pembersihan Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu semalam.

Katanya, bentuk insentif terbabit akan ditentukan selepas kerajaan negeri menerima laporan penuh prestasi kontinjen negeri dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.

Sebelum ini penyertaan dua atlet wanita berkenaan di Sukma Sarawak menjadi perhatian apabila Ketua Pemuda Amanah Terengganu Wan Hasbi Wan Ahmad, menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim patuh syariah.

Ini katanya walaupun kerajaan pimpinan PAS itu sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.

Bagaimanapun, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan penyertaan dua atlet itu adalah di luar pengetahuan kerajaan negeri.

HIshamuddin juga menegaskan Terengganu tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim seperti dikeluarkan sebelum ini.

Katanya lagi, MSN Terengganu juga telah dimaklumkan agar tiada atlet wanita dan Muslim Terengganu yang menyertai acara itu kerana pemakaian yang tidak mematuhi kod etika ditetapkan.

Susulan itu Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas "kesilapan" menghantar wanita Islam sebagai atlet acara terjun ke Sukma Sarawak tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Presidennya Toh Chin Yaw dilaporkan berkata penyertaan itu dibuat atas inisiatif sendiri dengan kos ditanggung oleh persatuan dan ibu bapa atlet terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS