Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
PRAT mohon maaf hantar atlet Muslim sertai acara terjun Sukma
Diterbitkan:  Aug 26, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) hari ini tampil memohon maaf atas "kesilapan" menghantar wanita Islam sebagai atlet acara terjun ke kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Presidennya Toh Chin Yaw dilaporkan berkata penyertaan itu dibuat atas inisiatif sendiri dengan kos ditanggung oleh persatuan dan ibu bapa atlet terbabit.

Justeru katanya PRAT mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Sebelum ini kami telah banyak kali berjumpa dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dan berbincang tentang syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam pertemuan sebelum itu juga, kita memohon untuk menghantar atlet-atlet ini ke Sukma, kerana mereka telah lama berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara melalui persatuan.

“Tetapi untuk Sukma ini kami hantar atlet melalui inisiatif PRAT sendiri dengan peruntukan dan tanggungan persatuan serta ibu bapa atlet tersebut,” katanya dipetik portal trdi.my hari ini.

Terdahulu PRAT mengadakan pertemuan dengan Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim dan pengarah MSN negeri, Ahmad Shahrizal Yahaya di Kuala Terengganu.

Pertemuan itu berlangsung selepas kontroversi melibatkan penyertaan dua atlet terjun wanita Muslim yang mewakili Terengganu pada Sukma Sarawak yang berakhir Sabtu lalu.

Cari bakat baru bukan Islam

Aksi Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran itu membuahkan dua pingat gangsa buat Terengganu, iaitu bagi kategori 10 meter platform seirama; dan kategori 1 meter papan anjal yang dimenangi Uzlifatil Jannah.

Semalam Hishamuddin menjelaskan penyertaan atlet terjun wanita yang mewakili Terengganu adalah di luar pengetahuan kerajaan negeri, namun menegaskan Terengganu tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim seperti dikeluarkan sebelum ini.

Katanya lagi, MSN Terengganu juga telah dimaklumkan agar tiada atlet wanita dan Muslim Terengganu yang menyertai acara itu kerana pemakaian yang tidak mematuhi kod etika yang ditetapkan.

Penjelasannya itu hadir susulan laporan Malaysiakini berkenaan penyertaan dua atlet berkenaan walaupun sebelum ini penyertaan atlet gimnastik wanita muslim dihalang atas alasan pemakaian tidak patuh syariah.

Hishamuddin Abdul Karim

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Wan Hasbi Wan Ahmad, menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.

Menurut Wan Hasbi, jika Terengganu menghalang penyertaan wanita dalam acara gimnastik dibuat atas dasar kesopanan dan pematuhan syariah, maka prinsip tersebut sepatutnya turut digunakan secara konsisten dalam semua sukan, termasuk acara renang dan terjun.

Seorang bekas atlet gimnastik Terengganu yang enggan identitinya didedahkan turut meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Chin Yaw menjelaskan pihaknya tersalah faham berhubung kod pakaian atlet Muslim seperti yang dimaksudkan oleh kerajaan Terengganu.

“Kami ingat ia biasa sahaja kerana diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan, sehinggalah apabila ia menjadi isu, baru kami sedar kesilapan kami.

“Pengurus pasukan selalu berbincang dengan exco kerajaan negeri dan isu mengenai pakaian sering ditekankan.

"Kami fikir pakaian yang telah ditetapkan badan renang negara dan dunia itu tiada masalah,” katanya lagi.

Sementara itu pengurus pasukan sukan terjun Terengganu, Foo Wai Choo, mengakui Hishamuddin sudah melarang pihaknya menghantar atlet wanita beragama Islam ke Sukma atas faktor menyalahi kod etika pakaian.

“Selepas ini kami akan cuba untuk mencari bakat daripada kalangan bukan Islam sebagaimana dibenarkan kerajaan negeri,” katanya dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS