Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 di Kuching
Diterbitkan:  Aug 26, 2024 4:26 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 diadakan di bandar raya Kuching selaku penganjur bersama temasya sukan tersebut.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu telah dibawa ke kabinet kerajaan persekutuan untuk diputuskan.

“Namun, upacara penutupan masih fleksibel dan boleh diadakan di Kuala Lumpur atau lokasi lain yang dianggap sesuai oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Abdul Karim berkata pembahagian tempat berlangsungnya sesebuah acara sukan akan turut dibincangkan, dengan 18 daripada 36 acara dicadang diadakan di bandar raya Kuching.

Menurutnya keputusan untuk menganjur Sukan SEA di beberapa bandar lain di Malaysia disifatkan mampu memberikan manfaat ekonomi dari segi peningkatan pelancongan dan perbelanjaan tempatan.

“Acara Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak baru-baru ini yang dibahagikan ke sembilan lokasi telah menunjukkan impak ekonomi yang positif di semua bahagian terlibat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA akan datang susulan kejayaan serta kemampuan negeri itu dalam menganjurkan Suka yang dianggap terbaik pernah diadakan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS