Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukma: Kelantan mahu mohon bajet tambahan dari kerajaan
Diterbitkan:  Aug 26, 2024 12:47 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Gagal mencapai sasaran awal dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung di Sarawak baru-baru ini, kerajaan Kelantan berkata mereka menilai semula kaedah pencarian bakat baru serta peranan persatuan yang ada.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata kekangan kewangan dan peruntukan untuk majlis sukan negeri (MSN) juga memberi kesan kepada langkah negeri terbabit mencapai kejayaan yang diingini

“Kita (kerajaan negeri) akan cuba memohon bajet kerajaan negeri pada masa akan datang supaya ada pertambahan untuk program pembangunan sukan MSN," katanya dipetik harakahdaily.

Dalam kejohanan dwitahunan yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos lalu, Kelantan berada di kedudukan kedua tercorot dalam kutipan pingat.

Kontinjen itu memperoleh tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa.

Di bawah Kelantan ialah Brunei yang mengumpul dua emas, dua perak dan tiga gangsa.

Kedudukan itu menyaksikan Kelantan mengulangi prestasi mereka pada dua Sukma terdahulu iaitu 2018 dan 2022.

Pada awalnya dalam Sukma Sarawak kali ini kontinjen Kelantan menyasarkan untuk mengumpul 20 pingat emas, 10 perak dan 26 gangsa melalui 400 atlet yang dihantar.

Sebelum ini kontinjen Kelantan turut mencuri perhatian ramai apabila skuad bola sepak mereka dilihat seperti diabaikan apabila tidak dibekalkan dengan pakaian yang sepatutnya.

Zamakhshari berkata bagi mengatasi masalah yang dihadapi negeri itu, kerajaan akan cuba mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat.

Dia juga mengumumkan, MSN Kelantan akan mengadakan majlis khas bagi meraikan semua atlet negeri itu dan menyampaikan insentif kepada pemenang pingat.

Katanya insentif kewangan bernilai antara RM1,500 hingga RM4,500 akan diserahkan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat dari Sarawak.

“Insentif membabitkan acara individu atau dua atlet yang meraih pingat emas akan memperoleh RM2,500, perak RM2,000 dan gangsa RM1,500 setiap seorang.

“Bagi acara berpasukan tiga hingga enam atlet, RM3,000 diberikan untuk pingat emas, perak RM2,500 dan gangsa RM2,000,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS