Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Exco T'ganu: Penyertaan penerjun wanita di luar pengetahuan kami
Diterbitkan:  Aug 25, 2024 8:38 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan penyertaan atlet terjun wanita yang mewakili negeri itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak berada di luar pengetahuan pihaknya.

Hishamuddin berkata, secara dasar Terengganu tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya lagi, MSN Terengganu juga telah dimaklumkan agar tiada atlet wanita dan Muslim Terengganu yang menyertai acara itu  kerana pemakaian yang tidak mematuhi kod etika yang ditetapkan.

“Malangnya, terdapat penyertaan atlet terjun wanita kontinjen Sukma Terengganu yang turut menyertai sama dan berada di luar pengetahuan pihak saya. 

“Perkara ini telah dirujuk kepada pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dan dimaklumkan penyertaan yang dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu dan berada di bawah perbelanjaan sendiri dan hanya memohon kuota Terengganu. 

“Persatuan Renang Amatur Terengganu juga telah melakukan kunjungan hormat kepada saya pada 5 Jun 2024 untuk memohon pelepasan ini. Waktu itu juga saya tegaskan kerajaan negeri tidak membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika dia seorang Muslim,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan berkenaan penyertaan dua atlet wanita Muslim yang mewakili Terengganu dalam sukan terjun pada Sukma 2024 yang berakhir semalam, walau sebelum ini penyertaan atlet gimnastik wanita muslim dihalang atas alasan pemakaian tidak patuh syariah.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Wan Hasbi Wan Ahmad menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.

Menurut Wan Hasbi, jika Terengganu menghalang penyertaan wanita dalam acara gimnastik dibuat atas dasar kesopanan dan pematuhan syariah, maka prinsip tersebut sepatutnya turut digunakan secara konsisten dalam semua sukan, termasuk acara renang dan terjun.

Seorang bekas atlet gimnastik Terengganu yang enggan identitinya didedahkan turut meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu. 

Hishamuddin yang juga Adun Tepoh berkata, dia sangat terkejut dengan laporan tentang penyertaan tersebut serta amat berdukacita dengan perkara itu.

“Penyertaan atlet berkenaan dalam acara tersebut tidak berada dalam pengetahuan saya selaku Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.

“Saya telah meminta pihak pengurusan MSN Terengganu untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan penyertaan atlet wanita dalam acara ini dan akan memanggil pihak persatuan serta untuk memberikan penjelasan terperinci selepas selesai perjalanan Sukma 2024.

“Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS