Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Penerjun wanita wakili Terengganu beraksi di Sukma Sarawak

Terengganu dilabel sebagai gagal untuk menonjolkan atlet Muslim patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.

Ketua Pemuda Amanah Terengganu Wan Hasbi Wan Ahmad berkata hal itu kerana Terengganu didapati tetap menghantar atlet Muslimah ke temasya dwitahunan tersebut.

Katanya, pembabitan itu melibatkan wanita Muslim dalam acara terjun di Sukma 2024 yang baru saja berakhir semalam. Malah, katanya, atlet terbabit mengenakan pakaian tidak patuh syariah.

Menurut Wan Hasbi, jika Terengganu halangan penyertaan wanita dalam acara gimnastik dibuat atas dasar kesopanan dan pematuhan syariah, maka prinsip tersebut sepatutnya turut digunakan secara konsisten dalam semua sukan, termasuk acara renang dan terjun.

"Lebih penting lagi, kegagalan untuk menerapkan prinsip yang sama dalam semua bidang sukan mencerminkan kegagalan kerajaan Terengganu menonjolkan konsep patuh syariah yang sering diuar-uarkan.

"Perbezaan ini menunjukkan bahawa keputusan diambil berdasarkan penilaian subjektif, bukan prinsip yang kukuh.

"Ia juga menimbulkan persoalan mengenai keseriusan kerajaan negeri terhadap prinsip patuh syariah yang dipegang mereka.

"Jika pendekatan dwistandard ini diteruskan, akhirnya ia ia bukan sahaja akan memberi kesan negatif kepada perkembangan sukan di Terengganu bahkan mencerminkan percanggahan dasar kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Hasbi Wan Ahmad

Terdahulu semakan Malaysiakini mendapat Terengganu menghantar dua atlet wanita bagi acara terjun iaitu Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran.

Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori 10 meter platform seirama wanita. Bahkan Uzlifatil Jannah juga memenangi pingat gangsa bagi kategori 1 meter papan anjal.

Sebelum ini kerajaan Terengganu dilaporkan menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita Muslim sekali gus tidak akan menghantar penyertaan mereka dalam temasya Sukma bermula tahun ini.

Alasan timbulkan persoalan

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kerajaan negeri melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri pada Mac 2020, yang mengandungi etika serta standard pakaian melibatkan atlet dan jurulatih beragama Islam.

Menurutnya kerajaan Terengganu serius dalam melaksanakan dasar sukan patuh syariah termasuklah pemakaian menutup aurat dalam ruang lingkup kuasa yang ada.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata konsep patuh syariah itu terpaksa diubah suai kepada pendekatan "mesra syariah" yang lebih lembut dan bersifat mendidik.

Tahun lalu Malaysiakini melaporkan beberapa atlet gimnastik wanita yang mewakili Terengganu melahirkan rasa kecewa susulan langkah itu.

Di pihak kerajaan negeri pula, mereka menawarkan alternatif dengan mencadangkan atlet terbabit bertukar ke acara sukan wushu.

Kali terakhir Terengganu menghantar atlet gimnastik wanita ialah pada Sukma 2022 melalui Tok Exin yang kini sudah meninggalkan sukan itu.

Wan Hasbi berkata, keputusan Terengganu menghalang penyertaan atlet gimnastik wanita dalam Sukma 2024 tetapi membenarkan atlet wanita lain dalam acara terjun mencerminkan sikap yang mengecewakan.

Tegasnya, kedua-dua sukan tersebut memerlukan dedikasi, kemahiran, dan persediaan yang sama dari segi fizikal dan mental.

"Namun, alasan moral atau budaya yang digunakan untuk menyekat penyertaan dalam satu sukan dan membenarkannya dalam yang lain menimbulkan persoalan tentang konsistensi dasar mereka terhadap pendekatan isu kebebasan dan hak wanita dalam sukan.

"Tindakan ini juga mencerminkan persepsi masyarakat yang mungkin masih memegang stereotaip usang mengenai kesopanan wanita apabila gimnastik dianggap kurang sesuai berbanding renang dan terjun.

"Sedangkan, kedua-dua sukan tersebut memerlukan pakaian yang sesuai dengan tuntutan dan prestasi. Ia memberi isyarat bahawa ada keperluan untuk melihat semula bagaimana kita mendefinisikan kesesuaian dalam sukan wanita," jelasnya lagi.

Tambah Wan Hasbi, Terengganu perlu mengkaji semula dasar-dasar mereka dan memastikan semua atlet, tanpa mengira jantina atau jenis sukan, diberi peluang yang sama untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan.

Mengapa gimnastik jadi ‘korban’

Lebih penting ujarnya, keputusan sebegini boleh melemahkan semangat atlet muda yang bercita-cita tinggi.

"Gimnastik dan renang adalah sukan yang menuntut latihan keras dan disiplin yang tinggi. Melarang atlet untuk bersaing hanya kerana persepsi budaya bukan sahaja tidak adil tetapi juga merugikan masa depan sukan negara.

"Sikap dwistandard ini boleh menyebabkan penyusutan minat dalam sukan dalam kalangan generasi muda, terutama apabila mereka melihat usaha keras mereka dinafikan oleh keputusan yang tidak konsisten," kata Wan Hasbi.

Sementara itu seorang bekas atlet gimnastik wanita Terengganu berkata, dia dan rakan-rakan mahukan penjelasan pihak kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Dia yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini, sebelum ini kerajaan negeri melarang penglibatan atlet wanita Muslim dalam acara gimnastik, renang dan terjun namun hanya sukan gimnastik akhirnya menjadi korban.

“Jadi kami mahu dengar apa alasan pihak kerajaan Terengganu selepas ada wakil wanita Muslim dalam acara terjun sertai Sukma 2024.

“Kenapa hanya sukan gimnastik menjadi korban dalam isu pemakaian atlet?” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi kerajaan Terengganu untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS