Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Terengganu negeri tunggal PN sekat atlet gimnastik wanita ke Sukma

Terengganu menjadi satu-satunya negeri ditadbir PN yang tidak menghantar atlet gimnastik artistik wanita bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini.

Langkah itu diambil selepas negeri terbabit mengharamkan penyertaan wanita khususnya beragama Islam dalam sukan gimnastik disebabkan faktor pakaian yang tidak patuh syariah.

Bagaimanapun langkah tidak menghantar atlet dalam sukan tersebut tidak dibuat oleh tiga lagi negeri PN iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis.

Hal itu berlaku walaupun ketiga-tiga negeri berkenaan juga dikuasai pemimpin dan menteri besar PAS.

Tahun lalu Malaysiakini melaporkan beberapa atlet gimnastik wanita yang mewakili Terengganu melahirkan rasa kecewa susulan langkah itu namun mereka dicadangkan bertukar ke acara sukan wushu.

Kali terakhir Terengganu menghantar atlet gimnastik wanita ialah pada Sukma 2022 melalui Tok Exin yang kini sudah meninggalkan sukan itu.

Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu (PGNT) Abdul Razak Mat Amin, bagaimanapun mengesahkan Terengganu akan menghantar atlet lelaki bagi semua kategori untuk bertarung di Sukma yang diadakan di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti.

Abdul Razak Mat Amin

"Hanya enam atlet gimnastik lelaki akan mewakili Terengganu mengikut jumlah maksimum yang dibenarkan untuk Sukma," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagi Kedah, seramai 12 atlet gimnastiknya akan mengambil bahagian pada kejohanan sukan dwitahunan itu, dengan masing-masing enam orang atlet lelaki dan wanita.

Pengurus pasukan gimnastik Kedah Mohammad Irwan Shafiee berkata pada penyertaan kali ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa iaitu melalui atlet lelaki yang dilihat paling berpotensi.

"Jika ikut rekod Sukma yang lepas kami belum tuai sebarang pingat, jadi untuk tahun ini kami berharap sekurang-kurangnya dapat sumbangkan satu gangsa pingat daripada atlet," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu kontinjen Kelantan pula menghantar lapan atlet bagi acara gimnastik artistik termasuk dua daripadanya wanita.

Pengurusnya Ardy Zamani Abdullah memberitahu perkara itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Kontinjen Perlis pula menghantar enam atlet gimnastik lelaki selain tiga wanita dalam kejohanan bertaraf kebangsaan itu.

Ia disahkan Pengarah Majlis Sukan Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin, ketika dihubungi Malaysiakini.

Sukma Sarawak menawarkan 14 pingat emas bagi sukan gimnastik iaitu lapan kategori bagi acara lelaki dan enam untuk acara wanita.

Antara kategori yang dipertandingkan seperti senam lantai, palang sejajar, melombol, kekuda pelana dan palang tunggal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS