Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Badminton Paralimpik: Emas sudah pasti buat M’sia, tapi milik siapa?
Diterbitkan:  Aug 9, 2024 4:26 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berhasrat mempertahankan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik 2020, dengan bertemu rakan senegara Muhammad Fareez Anuar di pentas final Paris 2024.

Liek Hou berkata pencapaian tersebut pastinya akan mencipta sejarah baharu buat negara, apabila buat julung kalinya dua wakil negara beraksi di perlawanan akhir Sukan Paralimpik sejak badminton mula dipertandingkan pada edisi Tokyo 2020.

“Sekiranya undian berpihak kepada kami, akan lebih baik jika dapat mencapai perlawanan akhir sesama pemain Malaysia. Muhammad Fareez lebih memahami gaya permainan dan kelemahan saya kerana kami sering berlatih bersama.

“Kemajuannya juga semakin meningkat, dan saya banyak kongsi pengalaman dari segi strategi dan permainan serta teknik pukulan. Jadi, dia boleh jadi pesaing underdog dan saya berharap dia dapat menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan rekod, pemain nombor satu dunia itu, yang turut bergandingan dengan Muhammad Fareez selaku pemain nombor empat dunia acara beregu lelaki, belum pernah berentap sesama sendiri sebelum ini.

Dalam pada itu, juara dunia lapan kali itu juga tidak akan memandang rendah keupayaan pencabar lain terutamanya pemain nombor dua dunia, Fang Jen-Yu dari Taiwan pada temasya sukan berprestij tersebut.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata beliau sering bertemu Jen-Yu setiap kali menjejakkan kaki ke pentas final dalam kejohanan disertai tahun ini.

Bagaimanapun, Liek Hou terbukti sukar digugat Jen-Yu apabila memenangi kesemua perlawanan final tersebut, seterusnya merangkul gelaran di Saingan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol I dan II serta Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa di Scotland.

Beliau turut menyatakan bahawa sukar untuk membaca peluang musuh ketatnya, dan pemain nombor tiga dunia Dheva Anrimusthi memandangkan wakil Indonesia itu bergelut dengan kecederaan tahun ini.

Dalam pada itu, Liek Hou berharap keputusannya untuk menjalani kem latihan akhir di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dapat membantunya meningkatkan tahap fizikal serta mengatasi masalah kecederaan belakang yang dialaminya.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS