Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Puji jaguh badminton Thailand: Wan Fayhsal, netizen bidas Hannah
Diterbitkan:  Aug 7, 2024 2:10 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Gara-gara bergambar dengan jaguh perseorangan badminton Thailand dan memujinya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjadi sasaran kritikan musuh politiknya dan juga sesetengah netizen yang beranggapan tindakan itu sebagai tidak wajar.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil antara individu yang menyifatkan tindakan Hannah bergambar dengan pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024, Kunlavut Vitidsarn sebagai 'tidak menjaga sensitiviti'.

"Menteri belia dan sukan Malaysia, tolonglah jaga sensitiviti atlet kita dan lebih penting perasaan penyokong di kalangan rakyat kita," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan berkata demikian selepas Hannah berkongsi beberapa keping gambar bersama Vitidsarn di akauan Instagram miliknya.

"Tahniah @kunlavut.v kerana memenangi perak di Paris 2024. Saya sangat menikmati gaya badmintonnya. Begitu tenang dan terkawal. Dia mempunyai peminat baru iaitu diri saya," katanya pada kapsyen hantaran itu.

Bagaimanapun ahli parlimen Segambut itu turut tidak melepaskan peluang untuk meraikan dan bergambar dengan atlet badminton negara yang turut dikongsi di media sosial miliknya.

"Pemenang pingat untuk Paris 2024. Perbincangan bersama persatuan vs berdikari, boleh tunggu hari lain. Buat masa ini, mari kita raikan kemenangan ini. Raikan kejayaannya dan syabas kepada jurulatih Wong Tat Meng kerana membantu Zii Jia berjaya sejauh ini.

"Ya ada sejarah dengan @ba_malaysia, ya dia berada di (road to gold) RTG sebentar dan kemudian dia memutuskan sebaliknya dan kini dia bebas sepenuhnya. Tetapi bolehkah kita sebagai sebuah negara berhenti seketika dan meraikan hakikat bahawa anak muda ini telah pergi jauh, dipilih dirinya dan kini berjaya ke podium Olimpik?

"Saya akan maklumkan semua butiran ganjaran dan sokongan kewangan pada hari lain. Buat masa ini, keluar ke sana dan raikan kemenangan ini @leeziijia. Tahniah dan syabas," katanya dalam mengiringi hantara gambar selepas Zii Jia meraih gangsa di Paris.

Pada perlawanan separuh akhir Ahad lalu, Zii Jia tewas kepada Vitidsarn sekali gus gagal melangkah ke peringkah akhir sebelum memenangi pingat gangsa dengan menewaskan Lakshya Sen dari India.

Semakan Malaysiakini mendapati, Hannah juga membuat hantara di Instagram dengan bergambar dan meraikan pasangan beregu badminton lelaki negara Aaaron Chia dan Soh Wooi Yik yang turut meraih gangsa di Paris.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS