mk-logo
Sukan
Kuota khas Olimpik: Norza kesal keluarga kena buli siber
Diterbitkan:  Aug 7, 2024 10:22 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria mempertahankan keluarganya daripada serangan dalam talian berdasarkan gambar tular mereka di Sukan Olimpik Musim Panas Paris 2024 dengan kad akreditasi khas.

Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dipetik The Star berkata dia berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran) dalam kedua-dua persatuan itu.

“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.

"Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai tampil membela Norza, berkata semua peraturan telah dipatuhi dan dia tidak sepatutnya dibuli siber.

“IOC sememangnya memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC. Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu yang menemani dan pada kad itu, akan tertera perkataan MOM,” katanya seperti dipetik The Star.

“Sama seperti atlet, pegawai juga tidak seharusnya dibuli secara siber. Sila fahami isu tersebut sebelum membuat komen.

"Jika kita tidak menyukai seseorang, tidak bermakna semua yang dia lakukan adalah buruk,” kata Chai lagi.

Pada Isnin, Norza memberitahu Malaysiakini kehadiran isteri dan anak lelakinya ke temasya Olimpik Paris itu atas pembiayaan peribadinya dan bukan atas kuota akreditasi pasukan diberikan kepada setiap Jawatankuasa Olimpik Negara.

Gambar Norza sekeluarga menonton perlawanan pingat gangsa beregu lelaki badminton telah menjadi tular.

Isu itu dikaitkan dengan pemain badminton negara Goh Jin Wei yang beraksi di Sukan Olimpik tanpa ditemani jurulatihnya Nova Armada, berikutan bilangan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) terhad.

Goh pemain badminton profesional dan bukan di bawah bidang kuasa BAM.

Sementara itu, The Star hari ini turut melaporkan Norza akan menyegerakan pengundurannya daripada BAM susulan kontroversi berkenaan.

"Melihat semua maklum balas ini, perasaan saya sekarang, saya hanya akan mengatakan bahawa saya akan meletak jawatan tidak lama lagi daripada BAM, yang ramai orang sedar hal inu.

“Saya berharap pemimpin seterusnya dapat menambah baik keadaan hal ehwal badminton di negara kita,” katanya.

Norza Zakaria pada 25 Mei lalu telah mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia berkata Timbalan Presiden BAM I V Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku presiden sehingga mesyuarat agung tahunan diadakan pada April atau Mei tahun depan.

Malaysia telah memperoleh dua pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 dalam kategori beregu lelaki dan perseorangan lelaki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS