Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria berkata dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu sendiri bagi menonton acara dalam temasya Olimpik Paris 2024.
Norza menegaskan kuota itu tiada kaitan dengan kad akreditasi melibatkan atlet dan pasukan negara yang menyertai kejohanan berkenaan.
"Sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dan MOM saya diberikan peruntukan untuk bawa tetamu sendiri.
"Saya ada kuota khas, tidak kena-mengena dengan atlet," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Hari ini tular ciapan warganet di X yang mempersoalkan gambar yang memaparkan individu didakwa isteri dan anak lelaki Norza yang mempunyai kad akreditasi dan menonton acara Olimpik di Paris.
Ia dikaitkan pula dengan nasib pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei yang terpaksa keseorangan menghadapi perlawanan di Sukan Olimpik tanpa ditemani jurulatih profesionalnya, Nova Armada.
Ia berikutan kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Namun Jin Wei dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Untuk rekod, Jin Wei merupakan atlet badminton profesional dan bukan di bawah seliaan BAM.
Seorang pengguna X berkata ramai orang mendakwa gambar tersebut adalah keluarga Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik 2024, Mohd Hamidin Mohd Amin tetapi sebenarnya mereka isteri dan anak kepada Norza.
Justeru, dia mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abdul Halim berhubung peruntukan kad akreditasi Olimpik Paris.
"Orang ramai mengatakan gambar dalam ciapan di bawah adalah keluarga Hamidin, tetapi tidak. Sila semak dahulu.
"Mereka adalah isteri dan anak Norza berdasarkan Instagram Norza. Soalan kepada Hannah Yoeh dan Adam Adli, adakah dua daripada kad akreditasi diperuntukan kepada mereka?” soalnya yang menggunakan nama @fdjesfry.