Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Zii Jia terima kekalahan, harap bangkit raih gangsa

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zi Jia menerima kekalahan pada aksi separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 dan berharap dapat bangkit semula untuk perlawanan penentuan pingat gangsa esok.

Bercakap kepada Bernama selepas tewas 14-21, 15-21 kepada juara dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand di Porte de La Chapelle Arena, Zii Jia berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan kekalahannya itu kerana sedang melakukan persiapan untuk menentang pemain India Lakshya Sen bagi memburu pingat gangsa esok.

"Beliau (Kunlavut) bermain dengan sangat baik dan mengawal gelanggang dengan penuh yakin. Seperti anda dapat lihat, pertahanan, pukulannya dikawal penuh dan semua berjalan mengikut rancangannya.

"Saya tiada pilihan melainkan menerima kenyataan ini … tetapi, bagi saya kempen belum berakhir, masih ada satu perlawanan esok. Saya tiada masa memikirkan hal lain, hanya perlu memberi tumpuan pada perlawanan esok, seperti final juga," katanya.

Zii Jia yang berada pada ranking ketujuh dunia berkata tekanan pada suku akhir dan separuh akhir adalah sama.

“Dah sampai separuh akhir siapa yang tidak mahu ke final kan? Fikiran dah macam-macam tadi, bahawa ‘saya nak menang, saya ada peluang’ bermain dalam minda saya,” katanya.

Sementara itu, Kunlavut yang mencipta sejarah sebagai pemain Thailand pertama muncul juara dunia dalam acara perseorangan lelaki tahun lepas, berkata beliau gembira berjaya ke peringkat akhir dalam penampilan sulungnya di Olimpik.

"Saya mahu melangkah satu persatu, tidak mahu meletakkan banyak tekanan dengan terlalu memikirkannya. Selepas memenangi gelaran dunia, banyak perkara berlaku kepada saya, saya tidak dapat berlatih dan bertanding dengan baik dalam kejohanan.

"Tetapi, dalam kejohanan besar seperti Olimpik, saya mahu berikan 100 peratus kerana tidak seperti Jelajah Dunia BWF, yang kamu boleh cuba lagi tahun depan, perlu tunggu empat tahun lagi untuk Olimpik seterusnya," katanya yang gembira dapat menjadi atlet badminton pertama Thailand merangkul pingat Olimpik.

Pada saingan akhir esok, Kunlavut akan mencabar juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark.

Axelsen yang melangkah ke final Olimpik buat kali kedua berturut-turut, menewaskan Lakshya, yang berharap menjadi pemenang pingat perseorangan lelaki pertama India, 22-20, 21-14 pada satu lagi perlawanan separuh akhir hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS