Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Langkah Aaron Chia, Wooi Yik turut disekat jaguh China
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 6:28 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Beregu lelaki badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerima nasib sama dengan pasangan beregu wanita selepas tewas dalam aksi separuh akhir temasya Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Perjuangan berdepan regu dari China Liang Weikeng-Wang Chang dalam perlawanan separuh akhir itu menyaksikan wakil Malaysia tewas dalam set penentuan.

Debaran set pertama cukup membuktikan wakil Malaysia memberi saingan sengit walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 19-21.

Bagaimanapun perlawanan pada set kedua memberi ruang kebangkitan buat Chia dan Wooi Yik membuktikan kemampuan mereka dengan kemenangan 21-15.

Tempo permainan pantas tanpa rali-rali panjang itu sekali gus memaksa pasangan China diheret ke set ketiga.

Rentak perlawanan di set ketiga mempamerkan aksi seimbang kedua-dua pasukan pada awalnya, namun jaguh China kemudiannya mengungguli mata.

Cubaan Chia dan Wooi Yik untuk bangkit bagaimanapun disangkal lawan dengan keputusan 17-21.

Terdahulu beregu wanita badminton negara Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan juga tewas di tangan wakil dari China dalam saingan separuh akhir.

Pearly-Thinaah akan menentang sama ada satu lagi pasangan China, Liu Shengshu-Tan Ning atau wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam penentuan pingat gangsa.

Sementara itu Chia dan Wooi Yik juga akan beraksi bagi mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi mereka pada Olimpik Tokyo 2020.

Mereka akan menentang sama ada pasangan Denmark Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup atau pasangan Chinese Taipei, Lee Yang-Wang Chi-lin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS