Beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menewaskan bekas pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty untuk mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris.
Aaron-Wooi Yik bangkit selepas tewas set pertama untuk memaksa permainan kepada rubber set, yang berakhir dengan kemenangan dengan mata 13-21, 21-14 dan 21-16.
Beregu dari Malaysia itu sebelum ini merangkul pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.
Kemenangan beregu itu menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut mereka kepada Satwiksairaj-Chirag, dengan peluang untuk mengulangi atau memperbaiki kutipan pingat gangsa sebelum ini.
Kemenangan itu juga bermakna beregu lelaki negara menyusul beregu wanita kebangsaan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang awal hari ini menewaskan pemain nombor 10 dunia Korea Selatan Kim So-yeong dan Kong Hee-yong untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik akan bertemu pasangan Liang Weikeng-Wang Chang dari China.