Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
T'ganu perkenal tempat duduk khas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Terengganu bakal memperkenalkan tempat duduk khas wanita dan keluarga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata inisiatif itu dijangka dilaksana malam esok sempena perlawanan Liga Super antara Terengganu FC (TFC) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata langkah itu untuk memberi keselesaan kepada penonton wanita dan mereka yang datang bersama keluarga.

"Sewaktu perlawanan bola sepak Piala FA antara TFC menentang Selangor FC 19 Julai lepas antara perkara berbangkit adalah tentang percampuran antara lelaki dan perempuan yang tidak menyenangkan.

"Oleh itu, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan TFC memperhalusi perkara ini dan bersetuju mewujudkan satu kawasan khas bagi penonton wanita dan keluarga bermula 30 Julai ini. Pihak TFC juga menganjurkan Matchday X Family Day pada hari berkenaan," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata penonton wanita tidak dihalang memasuki mana-mana pintu atau duduk di tempat lain memandangkan sifat dan reka bentuk stadium yang terbuka, namun pihaknya berharap kemudahan itu dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Selain itu, pihaknya juga akan menetapkan pintu atau laluan khas untuk wanita bagi memberi lebih keselesaan dan perkara berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS