Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tan Jie-Ee Wei buat regu campuran China terkulai

OLIMPIK PARIS | Kem badminton negara melakar satu lagi kejutan apabila gandingan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei menjinakkan pasangan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China pagi tadi (waktu tempatan).

Pertarungan selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia meraih kemenangan menakjubkan untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D dengan mata 17-21, 21-15, 21-16.

Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar dewan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.

Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan. Bagaimanapun regu yang akan dihadapi mereka hanya akan diketahui dalam undian esok, iaitu selepas semua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.

Naib juara Terbuka Switzerland dan Masters Thailand itu memulakan kempen pada Sabtu dengan menewaskan pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil AS, 21-15, 24-22.

Semalam, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah mengejutkan beregu nombor enam dunia dan bekas juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dengan 18-21, 21-15, 21-16 dalam aksi Kumpulan A untuk menghidupkan peluang mereka ke suku akhir.

Mengulas kemenangan hari ini, Ee Wei berkata mereka enggan mempedulikan kedudukan dunia Yan Zhe-Dong Ping sebaliknya bermain berhabis-habisan sehingga keputusan ‘atas kertas’ dapat diubah.

“Sebagai juara bertahan, permainan mereka sangat baik dan menyukarkan kami. Tapi kunci kejayaan kami ialah percaya satu sama lain dan komunikasi yang baik dalam gelanggang.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan.

“Mereka beregu utama dunia dan mempunyai kualiti permainan sangat bagus. Tapi kali hari ini, kami tak terlalu mengikut perasaan apabila ketinggalan seperti dulu, kami lawan balik,” katanya.

Dong Ping - bersama gandingannya ketika itu Wang Yi Lyu - merangkul pingat emas Olimpik di Tokyo 2020. Bagaimanapun Li Lyu sudah mengumumkan persaraannya tahun lepas kerana kecederaan.

Sementara itu, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu teruja dengan kemenangan hari ini sebaliknya mahu meneruskan momentum kemenangan mereka di peringkat suku akhir kelak.

“Pada perlawanan hari ini, kami cuba cari bagaimana cara untuk mengatasi kehebatan mereka, dan strategi kami berjalan lancar.

"Kita akan gunakan rehat esok untuk proses pemulihan dan mempersiapkan diri untuk perlawanan suku akhir nanti,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS