Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pan Gon letak jawatan
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 2:40 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Kim Pan Gon meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.

Tanpa menjelaskan lanjut, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pan Gon berkata peletakan jawatan itu dibuat kerana “komitmen peribadi”. 

"Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. 

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak,” kata jurulatih daripada Korea Selatan itu.

Jawatan penting itu akan dipangku oleh penolong Pan Gon, Pau Marti Vicente dari Sepanyol, dibantu penolong ketua jurulatih kebangsaan, E Elavarasan yang juga bekas jurulatih skuad muda Malaysia.

Timbalan Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi berkata Pan Gon pada mulanya ingin memendekkan kontraknya.

Bagaimanapun, kata Yusoff, FAM juga memujuk tetapi akhirnya menghormati keputusan itu, biarpun kontraknya masih berbaki sehingga Disember 2025.

Staf kejurulatihan lain--penolong jurulatih Park Bobae, jurulatih penjaga gol Cho Junho, jurulatih kecergasan Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasiLim Jaehun--yang dibawa masuk Pan Gon sebelum ini kekal berkhidmat.

Pau Marti akan berdepan ujian pertama dalam Pestabola Merdeka 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur September ini, berentap dengan tiga pasukan lain--Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

FAM juga akan terus memantau prestasi skuad sehingga Piala Mitsubishi Electric Asean 2024, November depan serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac 2015.

‘Perjalanan indah’

Sementara itu, Pan Gon menyifatkan tempoh dua setengah tahun berkhidmat di Malaysia sebagai perjalanan indah dan luar biasa, apabila berjaya membawa Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun.

"Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya,” katanya.

Malaysia bawah bimbingannya juga mencatatkan kenaikan ranking sehingga ke kedudukan 130 dunia.

Walaupun gagal mara ke pusingan seterusnya seterusnya dalam Piala Asia 2023 di Qatar, pasukan negara melangkah keluar gelanggang dengan bergaya apabila mengikat pasukan ranking ke-22 dunia, Korea Selatan 3-3 (bawah).

Bagaimanapun, Malaysia tidak menunjukkan konsistensi berbanding ketika mula-mula mendapat sentuhan awal Pan Gon, menyebabkan dia mula menerima kritikan demi kritikan, terutama di media sosial.

Walaupun meninggalkan pasukan kebangsaan, Pan Gon kita menganggap dirinya sebagai “separuh rakyat Malaysia”

“...saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi," jelas Pan Gon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS