Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Lebih banyak ganjaran menanti atlet rangkul emas Olimpik'

Ganjaran bagi atlet kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dijangka bertambah apabila semakin ramai pihak tampil memberi sumbangan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Yeoh berkata sumbangan tersebut adalah sebagai peluang kepada syarikat swasta memberi semangat dan sokongan kepada atlet negara yang berjaya menaiki podium di temasya empat tahun sekali itu.

"Untuk kerajaan, masih kekal RM1 juta, cuma sekarang ini pihak swasta ada menghubungi jawatankuasa Fast Track Road To Gold (RTG) untuk beri ganjaran kepada atlet yang membawa balik pingat emas.

"Bagaimanapun, untuk ganjaran ini, ia akan diumumkan kemudian oleh jawatankuasa program itu nanti," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Kemahiran Latihan Asas (KLAS): Renang Khas Parlimen Kota Melaka hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Hannah Yeoh

Kerajaan sebelum ini menawarkan ganjaran RM1 juta buat atlet yang merangkul pingat emas di temasya yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Sebelum ini media turut dilaporkan atlet negara kebangsaan yang membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik di Paris bakal menerima habuan sebuah kereta berjenama luar negara.

Mengulas mengenai KLAS: Renang Parlimen Kota Melaka, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15,240 bagi pembangunan program yang meliputi tiga kategori iaitu kanak-kanak dari keluarga B50, Orang Kurang Upaya dan warga emas.

"Peruntukan ini akan disalurkan melalui Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (Maswim) dan diharap memberi faedah kepada 40 lagi peserta yang dipilih oleh Khoo, sama ada peserta kanak-kanak atau warga emas. Ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan atau akses ke kelas latihan atau kolam renang untuk anak-anak mereka," katanya.

Yeoh mahu menjadikan renang sebagai bukan sahaja sukan, tetapi suatu kemahiran menyelamatkan nyawa memandangkan saban tahun terdapat kes lemas dilaporkan terutama ketika musim banjir.

Untuk itu, dia berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta dalam Belanjawan 2024 bagi memperluaskan pelaksanaan KLAS Renang bagi tahun 2024.

"Kita telah selesai bagi fasa 1 2024 (Jun) dengan 1,572 peserta, manakala fasa kedua yang bermula 27 Julai nanti akan diadakan di 39 lokasi di seluruh negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS