Doktor perubatan berpendapat pemain badminton remaja daripada China, Zhang Zhi Jie mungkin boleh diselamatkan jika diberi bantuan shock delivery atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) secepat mungkin sewaktu jatuh menggelepar di atas gelanggang.
Menurut Dr S Malar Santhi, kejadian yang menimpa Zhang itu dipanggil Ventricular Fibrillation (VF) ataupun Pulseless Ventricular Tachycardia (Pulseless VT) di mana jantung kemungkinan mengepam darah dengan laju.
“Rawatan terbaik sewaktu jantung berdegup laju seperti itu dipanggil shock delivery.
“Tetapi jika tiada alat untuk melakukan shock delivery sewaktu itu, kita perlu mulakan CPR dengan segera,” jelasnya di Tiktok.
Tambahnya lagi, jika rawatan tidak diberi dengan pantas ia akan menyebabkan nadi mangsa berhenti yang membuatkan badan mangsa keras dan kaku selepas menggelepar.
Katanya, pelbagai punca boleh menyebabkan kejadian itu berlaku seperti Hypokalemia atau Hyperkalemia ketika pemain berpeluh secara berlebihan.
Selain itu, katanya, seseorang boleh rebah akibat badan terlalu sejuk (hypothermia) dan gula dalam badan terlalu rendah (hypoglycemia).
Dr Malar menekankan bahawa CPR perlu diberikan segera jika kejadian seumpama itu berlaku dan tidak perlu menunggu pihak perubatan tiba jika ingin menyelamatkan mangsa.
Pada 1 Julai lalu, Zhang meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa perlawanan Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogyakarta, Indonesia.
Insiden itu berlaku ketika Zhang, 24, sedang menentang lawan dari Jepun, Kazuma Kawamo dalam perlawanan peringkat kumpulan di Arena Sukan Among Rogo.