Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Corak harimau lebih garang' - MOM papar jaket rasmi baru kontinjen M'sia
Diterbitkan:  Jul 2, 2024 4:54 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan menyertai temasya itu dengan pakaian rasmi yang baru, setelah rekaan sebelum ini dihujani kritikan orang ramai.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membentangkan rekaan baru itu hari ini.

Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria berkata mereka memilih "corak belang harimau yang lebih garang" sebagai tema rekaan dengan latar belakang bewarna hitam, dengan harapan ia akan memberi inspirasi kepada atlet negara.

Rekaan baru itu turut memaparkan logo MOM - iaitu Jalur Gemilang di atas lambang rasmi Sukan Olimpik - di bahagian kiri dada.

"Sebagai badan yang mengelolakan kontinjen Malaysia di semua temasya sukan antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, kata Norza, pakaian baru itu tidak akan memaparkan logo penaja, iaitu Yonex.

Rekaan sebelumnya yang dikritik ramai

Menurutnya, MOM mendapat persetujuan Yonex Sunrise Malaysia untuk tidak memaparkan logo ekoran faktor masa, memandangkang syarikat itu memerlukan perjanjian rasmi sebelum mana-mana syarikat atau pengilang dapat mencetak logonya.

"Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota kontinjen Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti," katanya lagi.

Pada minggu lalu, MOM setuju untuk menambah baik rekaan pakaian rasmi kontinjen negara selepas rekaan sebelumnya - yang dilancarkan di sebuah pusat beli belah pada 23 Jun - dikritik ramai.

Rata-rata warganet tidak suka rekaan tersebut, dengan ada yang menyifatkannya sebagai "buruk".

Ada juga yang membandingkannya dengan pakaian rasmi kontinjen negara lain, dengan beberapanya direka oleh pereka fesyen ternama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS