Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Rakyat Malaysia bersama Merah Kuning - Sanusi
Diterbitkan:  Jun 28, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Di atas padang mereka musuh. 

Bagaimanapun, ketika berdepan hukuman berat, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tampil memberikan sokongan kepada Selangor FC.

“Mereka tidak bersendirian.

“Percayalah, seluruh majoriti senyap rakyat Malaysia berdiri teguh bersama Merah Kuning.

“Menjunjung Kasih Tuanku!” kata presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, badan yang menaja Kedah Darul Aman FC.

Sanusi berkata demikian awal pagi tadi di media sosialnya, ketika mengulas hukuman  Malaysian Football League (MFL) terhadap Selangor FC kerana tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih di Johor pada 10 Mei.

Tindakan itu dibuat susulan isu keselamatan selepas bintang Selangor FC Faisal Halim, yang juga pemain kebangsaan, diserang dengan asid sehingga cedera teruk.

MFL bagaimanapun semalam mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC selepas dimurkai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai penaung kelab bola sepak itu.

Proses pemulihan Faisal Halim

Denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

MFL turut membatalkan arahan perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandar raya Petaling Jaya.

Namun pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.

Bagaimanapun pemilik JDT Tunku Mahkota Ismail mempertikaikan “pusingan u” itu.

Baginda malah menyindir supaya kelab yang melakukan kesalahan selepas ini meminta sultan masing-masing “tulis surat murka bagi meringankan hukuman”.

Pemangku sultan Johor itu juga mendakwa terdapat "tokong" dalam bola sepak Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS