Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Junjung titah Sultan Sharafuddin, MFL kurangkan hukuman Selangor FC
Diterbitkan:  Jun 27, 2024 7:02 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Malaysian Football League (MFL) memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC kerana tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Johor pada 10 Mei lepas.

Dalam kenyataan hari ini, MFL berkata ahli Lembaga pengarah "menggunakan budi bicara" untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dibatalkan.

Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.

"Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan," kata MFL.

Selangor FC sepatutnya bertemu kelab JDT selaku juara Liga Super namun mengambil keputusan menarik diri ekoran keganasan jenayah yang berlaku ke atas salah seorang pemain mereka, Faisal Halim.

Keputusan menarik diri itu turut mendapat restu dan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Susulan itu, MFL pada 25 Jun lalu memaklumkan hukuman terhadap Selangor FC selepas ahli lembaga pengarahnya bermesyuarat.

Sehari kemudian, Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat murka dengan hukuman itu, yang disifatkannya sebagai "tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku".

Sementara itu, MFL berkata pihaknya akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan sekretariatnya serta JDT bagi pembayaran pampasan yang dikekalkan, sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakin dan perbincangan lanjut.

"Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia," kata MFL lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS