Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MFL zalim, malapetaka dalam sukan bola sepak negara - Adun PN
Diterbitkan:  Jun 26, 2024 2:41 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Adun Taman Medan, Afif Bahardin menyifatkan denda yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC sebagai zalim dan ‘malapetaka’ dalam sukan bola sepak negara.

Setiausaha PN Selangor itu juga mendakwa hukuman yang dikenakan MFL berat sebelah dan tidak mencerminkan solidariti terhadap pemain Selangor, Faisal Halim yang hampir kehilangan nyawa akibat serangan asid pada Mei lalu.

“Ini adalah malapetaka yang tidak pernah kita dengar dalam sejarah bola sepak profesional negara sebelum ini.

“Apakah ini contoh semangat kesukanan yang ingin ditunjukkan oleh MFL? Apakah nyawa pemain Selangor FC tidak bernilai? Apakah ini kemuncak kepada sikap dan barah buli yang menghantui arena bolasepak negara?” katanya melalui hantaran Facebook semalam.

Semalam, MFL mendenda Selangor FC sebanyak RM100,000 berikutan tidak ketidakhadirannya pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, 10 Mei lepas.

Selain itu pasukan itu juga dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 dan perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula akan berlangsung tanpa penonton.

Afif dalam pada itu mempersoalkan semangat kesukanan yang ditunjukkan MFL terhadap arena bolasepak negara.

“Di saat pasukan yang kita sayangi ini dilanda musibah dan malapetaka, MFL memilih untuk menghukum dan menzalimi pasukan yang masih lagi terkejut dan resah dengan insiden gasar dan tidak bertamadun yang terjadi ke atas tunggak kami Faisal Halim,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal yang merupakan pemain sayap Selangor mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Petaling Jaya.

Susulan insiden itu, Selangor FC memohon perlawanan Piala Sumbangsih dengan JDT pada 10 Mei ditangguhkan namun ditolak oleh MFL atas alasan telah mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa.

Tawar bantu bayar denda

Sementara itu, Adun Sungai Air Tawar dari Umno, Rizam Ismail berkata dia akan menyumbang separuh bulan gaji pada bulan hadapan untuk membantu Selangor FC membiayai bayaran denda berkenaan.

Rizam juga menyatakan Adun Kota Damansara, Izuan Kasim turut memberi semangat solidariti untuk bersama-sama dalam memberi sumbangan kepada pasukan bolasepak berkenaan.

“Solidariti ini bukanlah sandiwara politik, sebaliknya manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan Gergasi Merah kebanggaan negeri kita.

“Saya berharap sekalian penyokong dapat terus memberi sokongan teguh kepada SFC agar semua pemainnya terus bersemangat waja dalam mendepani cabaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Altimet yang juga Adun Lembah Jaya turut menawarkan separuh daripada kutipan royalti harta inteleknya untuk membayar denda Selangor FC.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di laman Facebook Penyokong Selangor FC mendapati tangkap layar menunjukkan beberapa pengguna platform tersebut menawarkan diri untuk memberi sumbangan dan sokongan.

“Saya pun mahu derma sedikit jika ada tabung khas walaupun saya dari pantai timur,” kata pengguna Facebook, Alyamieyra.

“Fans KL pun kalau boleh nak QR juga. Satu hati vs MFL,” kata Nurazhar Mohd Zin.

“Aku fans NS akan turun semua game Selangor di home nanti. Kita lawan perosak bola sepak ini,” Noah Fitrie.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS