Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TFCSB, XFOX Market sepakat batal perjanjian tajaan
Diterbitkan:  Jun 11, 2024 5:08 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd mencapai kata sepakat untuk membatalkan perjanjian penajaan pasukan Terengganu FC (TFC) bernilai RM1.5 juta.

Hal itu susulan timbulnya spekulasi mengaitkan syarikat penaja dengan aktiviti penipuan yang tular di media sosial selepas perjanjian antara kedua-dua pihak dimeterai 9 Jun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas berkata keputusan itu diambil demi menjaga keharmonian kelab dan menghormati pandangan penyokong yang menjadi tulang belakang pasukan.

Beliau berkata perjanjian itu dibubarkan tanpa sebarang tuntutan daripada kedua-dua belah pihak yang prihatin dengan industri bola sepak negara.

"Demi keharmonian kelab dan mengambil kira suara penyokong, TFC telah melakukan perbincangan untuk melihat kaedah penyelesaian terbaik isu ini.

"TFCSB dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia membubarkan penajaan tanpa sebarang tuntutan. Pihak TFC akan memulangkan kembali bayaran penajaan sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.            

Mohd Sabri turut menjelaskan keputusan TFCSB untuk bekerjasama dengan XFOX Market sebelum ini dibuat selepas menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan padang bola sintetik.

Menurutnya perkara tersebut dilihat bertepatan dengan operasi TFC sebagai sebuah kelab bola sepak.

"Bagaimanapun, kerjasama ini mendapat pandangan berbeza daripada pelbagai pihak. Muncul suasana kurang sihat dan pelbagai tohmahan terhadap TFC disebabkan perjanjian ini yang menjejaskan keharmonian kelab," katanya.

Susulan itu, Mohd Sabri berkata TFC akan berusaha mendapatkan penaja lain bagi menghadapi saingan Persekutuan Bola Sepak Asean AFF Shopee Cup 2024 yang akan bermula 17 Julai depan.            

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS