Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Polis S'gor kesan pihak sebar rakaman CCTV kes simbah asid Faisal Halim

Polis sedang mengesan pihak di sebalik pendedahan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian simbah asid dipercayai melibatkan pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya yang berlaku pada 5 Mei lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial hari ini dengan video itu merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Beliau berkata pendedahan bahan bukti kes yang masih dalam siasatan merupakan satu kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memandang serius perbuatan tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video sekali gus mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video tersebut bagi menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS