Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Program Jom Jalan Bersama sasar gilap bakat baru sukan jalan kaki

Program Jom Jalan Bersama Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) 2024 pada 2 Jun ini merupakan platform bagi menggilap permata baru sukan negara dalam acara jalan kaki.

Timbalan Presiden NPC Haresh Deol berkata Malaysia sebelum ini mempunyai ramai atlet berjaya dalam sukan jalan kaki antaranya V Subramaniam dan Yuan Yu Fang yang meraih pelbagai pencapaian gemilang di peringkat antarabangsa namun kini seolah-olah tiada barisan pelapis.

“Jadi program yang mendapat sokongan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini kita harap akan merangsang penglibatan lebih ramai komuniti sukan berjalan kaki sekali gus membantu kita mengenal pasti bakat baharu,” katanya.

Haresh berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia yang disiarkan di saluran Bernama TV hari ini.

Menurut Haresh, Jom Jalan Bersama NPC yang bermula seawal 6.30 pagi di Padang Merbok di Kuala Lumpur, akan dimeriahkan dengan penyertaan legenda sukan negara Datuk M Jegathesan serta Yu Fang sendiri.

“Penyertaan setakat ini sudah penuh, namun jangan risau kerana program ini diadakan di tempat awam, jadi sesiapa yang berminat untuk turut serta boleh terus hadir ke lokasi program,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS