Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MFL diminta pertingkat kawalan keselamatan di stadium, tempat penginapan
Diterbitkan:  May 12, 2024 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meningkatkan tahap keselamatan pemain ketika pergi dan pulang dari stadium, termasuk di tempat penginapan ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung.

Timbalan Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata isu keselamatan pemain tidak boleh dipandang ringan terutamanya selepas insiden yang berlaku membabitkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini.

"Kejadian ini perlu dipandang serius lebih-lebih lagi sementara waktu ini... tindakan proaktif sewajarnya diambil kerana sebarang kemungkinan tidak boleh dijangka khususnya selepas perlawanan tamat.

"Kawalan keselamatan perlu diberikan perhatian maksimum bagi semua pasukan bukan sahaja di stadium malah sewaktu pemain pergi dan balik dari stadium," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad di Ujong Pasir malam tadi.

Menurut Mohd Yusoff, walaupun beban tanggungjawab MFL dan persatuan bola sepak negeri bertambah, namun isu keselamatan pemain perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Sementara itu, Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) berkata Liga M3 yang kini dijenamakan semula sebagai Liga A1 Semi Pro juga tidak terkecuali untuk diberikan kawalan keselamatan.

Beliau berkata saingan di liga berkenaan turut membariskan bekas pemain kebangsaan yang perlu diberi perhatian sama seperti saingan liga utama negara.

"AFL akan memperincikan dalam aspek keselamatan terhadap pemain sebelum sepak mula Liga Semi Pro ini bulan depan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS