Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tiada Sukan Komanwel 2026 di KL
Diterbitkan:  Mar 22, 2024 2:54 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Akhirnya Kuala Lumpur hari ini secara muktamad tidak menerima tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan tersebut diambil selepas meneliti pelbagai aspek serta implikasi jika tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) itu diterima.

Kata KBS, delegasi CGF telah menemui Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 5 Feb lalu.

Pada pertemuan yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua berkenaan, kata KBS, pihak CGF memberi taklimat mengenai tawaran selaku tuan rumah.

"Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Antara lain diutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) yang dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

"Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini," kata KBS.

Isu penganjuran sukan untuk negara bekas jajahan Britain itu mula menjadi perhatian seawal 11 Mac lalu apabila Majlis Olimpik Malaysia mengumumkan tawaran diterima daripada CGF.

Tawaran berkenaan diberikan kepada Kuala Lumpur ekoran penarikan diri Victoria, Australia, pada tahun lalu di sebalik kejayaan mereka membinanya sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk tokoh terkemuka berpendapat Malaysia wajar berhati-hati untuk menerima tawaran berkenaan.

Antara tokoh yang cenderung keberatan untuk menerima tawaran tersebut ialah bekas pengerusi jawatankuasa penganjuran Sukan Komanwel 1998, Jen (B) Mohamed Hashim Mohd Ali.

Menurut kementerian itu lagi Putrajaya menghargai tawaran yang disampaikan CGF kepada Kuala Lumpur.

"Namun, ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS