Kelantan United FC (KUFC) dijenamakan semula kepada Kelantan Darul Naim (KDN FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Presiden KUFC Rozi Muhammad berkata penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatukan semula penyokong bola sepak Kelantan di bawah satu panji serta bendera kebanggaan negeri.
Beliau berkata perubahan nama dan logo ini bukan untuk menggantikan pasukan utama iaitu Kelantan FC namun ia satu perubahan yang dibuat demi melihat kelab lebih berdaya saing.
"Perubahan itu dilakukan bagi membolehkan KDNFC mampu bersaing di hierarki tertinggi Liga Malaysia bersama kelab utama lain dengan entiti yang lebih dominan serta memiliki satu pengaruh bersifat menyeluruh.
"Besar harapan kami dengan penggunaan nama dan logo baru ini untuk melihat semua pihak di Kelantan dapat bersatu padu demi perkembangan bola sepak Kelantan lebih berdaya saing dan mencabar kelab-kelab lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozi menyeru peminat fanatik KDNFC untuk memberi sokongan dan sorakan serta memenuhi stadium setiap perlawanan liga musim ini.
Menurutnya, pihak pengurusan turut berterima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia dan First Instant Body kerana menerima penjenamaan semula kelab untuk menghadapi saingan 2024/2025.
"Kami juga berterima kasih kepada semua peminat dan penyokong bola sepak Kelantan kerana curahan idea serta pendapat mengenai penjenamaan semula KUFC kepada KDNFC," katanya.
- Bernama