Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Lepas 13 tahun, pasukan dari Perlis kembali ke Liga Super

Selepas 13 tahun, pasukan dari Perlis akan kembali beraksi di Liga Super, menjadikan semua negeri mempunyai wakil masing-masing dalam persaingan bola sepak peringkat tertinggi di negara ini.

Perlis United FC (PUFC) bakal menjadi pasukan ke-14 yang akan beraksi pada saingan Liga Super musim 2024/2025.

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan PUFC diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen khas bagi menyertai Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata Lembaga Pengarah MFL telah mendengar permohonan serta membuat semakan dan penilaian dokumen yang diserahkan PUFC menerusi cadangan daripada Unit Pelesenan MFL, First Instance Body (FIB).

"Berdasarkan semakan dan penelitian, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, MA Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

"PUFC turut mengemukakan salinan cek bernilai RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan," kata Stuart Ramalingam dalam kenyataan, hari ini.

MFL pada Januari lalu mengumumkan Kelantan FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan masalah tunggakan gaji.

Selain PUFC, tiga pasukan lain iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT telah mengemukakan permohonan bagi mengisi slot berkenaan selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan pasukan Kelantan FC.

Tambah Ramalingam, PUFC turut mendapat sokongan kerajaan negeri Perlis serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Bagaimanapun, ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa setelah mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan oleh pegawai-pegawai PUFC ketika pembentangan mereka.

"MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka," katanya lagi.

Ubat rindu pada Singa Utara

Berita tersebut pasti memberikan kegembiraan buat peminat bola sepak utara tanah air terutama peminat Perlis.

Kehadiran PUFC dalam kancah Liga Super akan merancakkan kembali kegemilangan sukan bola sepak di utara semenanjung yang akan mempunyai empat pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Penang FC, Perak FC dan Perlis United.

Perlis yang terkenal dengan julukan Singa Utara memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali (2004, 2006) dan gelaran juara liga pada 2005 namun selepas prestasi tidak menentu menyaksikan pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Perdana pada musim 2012 sebelum akhirnya terjerumus ke Liga FAM (Divisyen 3) pada 2014.

Dalam perkembangan lain, FIB telah memberikan tempoh kepada KDA FC serta Kuala Lumpur City FC (KL City) bagi menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.

KDA FC dan KL City diarahkan membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.

Kegagalan membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain selain denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS