Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
BATC: BAM puas hati komitmen pemain walau dihimpit isu kecederaan

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpuas hati dengan komitmen serta semangat juang yang tinggi dipamerkan pemain negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 meskipun dihimpit isu kecergasan melibatkan beberapa tonggak utama.

Mohamad Norza berkata dua pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang terpaksa direhatkan bagi beberapa perlawanan kerana difahamkan masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang adalah sesuatu yang di luar kawalan.

Sebaliknya, dia berkata Malaysia yang menggunakan khidmat Leong Jun Hao sebagai pemain perseorangan pertama pada aksi final menentang China semalam perlu diberi pujian apabila pemain ranking ke-38 dunia itu seolah-olah sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di pentas besar pada kejohanan akan datang.

“Kita mempunyai kekuatan pada 2024, namun menghadapi pelbagai masalah kecederaan yang menyebabkan pasukan tidak beraksi pada kekuatan sebenar di final.

“Walaupun gagal mempertahankan (kejuaraan), kita ingin mengucapkan tahniah kepada pemain yang telah memberikan segalanya untuk sampai ke peringkat final ini,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia ditundukkan China 0-3 pada aksi final BATC 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam semalam.

Terdahulu, Zii Jia direhatkan daripada menyertai aksi suku akhir (16 Feb) serta final (18 Feb) kerana masalah resdung, manakala Tze Yong menarik diri pada aksi suku akhir menentang Singapura pada Jumaat (16 Feb) selepas dipercayai mengalami kecederaan belakang seperti dilaluinya ketika Terbuka Malaysia bulan lepas.

Tze Yong hanya bertahan kira-kira tiga minit untuk merekodkan 1-3 ke atas Jason Teh.

Mohamad Norza turut berpendapat kejayaan pasukan negara membelasah Taiwan dan Jepun, masing-masing di peringkat suku akhir (16 Feb) dan separuh akhir (17 Feb), membuktikan pasukan negara tidak ambil mudah terhadap perjuangan mereka di kejohanan dwitahunan itu.

Dia yakin barisan kejurulatihan yang diketuai Rexy Mainaky akan bersikap proaktif dengan melakukan sesi ‘bedah siasat’ terhadap prestasi atlet negara dalam mengharungi saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April ini.

“Saya rasa kita automatik layak ke Piala Thomas (selepas berada dalam kelompok empat terbaik di BATC) dan yakin kalau buat persediaan yang lebih baik, kita akan dapat menyaingi kuasa besar terutamanya dalam merampas semula Piala Thomas (kali terakhir juara pada 1992).

“Jadi, saya rasa apa yang harus lakukan adalah kita sudah nampak laluan ke Piala Thomas dan saya berharap Rexy serta mereka yang lain dapat membina momentum tersebut ke Chengdu,” katanya yang juga pengerusi bersama program ‘Road To Gold’ (RTG).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS