Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pan Gon akan terus bersama Harimau Malaya - FAM
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon akan terus membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi perlawanan penting termasuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Perkara itu disahkan Naib Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan berkata tiada permintaan rasmi dibuat Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa pulang Pan Gon, kepada pasukan negara kelahirannya itu.

“Pan Gon akan terus mengendali skuad senior kebangsaan apatah lagi skuad negara akan berdepan perlawanan penting iaitu pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman, Mac ini.

“Korea Selatan sendiri yang mencadangkan Pan Gon bagi meningkatkan prestasi Malaysia sebelum ini. Jadi tak mungkin mereka panggil Pan Gon balik di saat kita memerlukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ke-10 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 yang turut dihadiri Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM di Petaling Jaya hari ini.

Menurut beliau FAM sudahpun menandatangani kontrak dengan Pan Gon dan mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan prestasi berterusan skuad Harimau Malaya.

Baru-baru ini tular di media sosial nama Pan Gon disebut-sebut untuk pulang berkhidmat ke Korea Selatan bagi memulihkan semula maruah bola sepak skuad Taeguk Warriors itu selepas gagal menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.

Harimau Malaya mencipta kejutan apabila mengikat skuad Taegeuk Warriors 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub pada 28 Jan lepas.

Namun, kejayaan itu tidak cukup untuk Harimau Malaya mencatat sejarah mara ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 selepas tewas dalam dua aksi terdahulu menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menamatkan saingan Kumpulan E di tempat tercorot dengan satu mata.

Sementara itu, Yusoff turut berkata antara keputusan yang dicapai mesyuarat yang diadakan hari ini adalah ketua jurulatih skuad bawah-23 tahun (B-23) Juan Torres Garrido turut akan mengendali pasukan kebangsaan B-20 sebagai ketua jurulatih.

Selain itu, beliau berkata FAM turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan peruntukan khas RM5 juta kepada Harimau Malaya, baru-baru ini.

“FAM percaya peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Malaysia adalah manifestasi sokongan padu tidak berbelah bahagi pucuk pimpinan kerajaan terhadap FAM yang mengawal selia semua kegiatan bola sepak tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Yusoff berkata FAM telah menerima keputusan rasmi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mengekalkan status pendaftaran badan sukan bagi Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) 9 Feb lepas.

PAFA sebelum ini dihimpit kemelut susulan pembatalan dan pembubaran persatuan itu pada Jun tahun lepas dinoktahkan selepas KBS meluluskan permohonan PAFA untuk mengekalkan statusnya sebagai sebuah entiti.

Ia selepas persatuan itu digantung selama enam bulan berikutan isu kewujudan dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk persatuan yang berusia lebih 100 tahun itu.

Dalam pada itu, katanya keputusan lain mesyuarat itu turut mengesahkan FAM akan mengadakan Program Akar Umbi Bolasepak Wanita dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi kategori 10-15 tahun pada 1 Mac di Pengerang Johor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS