Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
ULASAN | Ganjaran buat atlet biasa-biasa menghina peminat sukan

Kepulangan pasukan negara ke tanah air disambut dengan pujian, tepukan, serta dendangan lagu. Ia memberi tanggapan seolah-olah pemain kita pulang dengan kemenangan dalam perlawanan yang amat sukar.

Semuanya akan menjadi ilusi untuk menutup kenyataan berkaitan prestasi yang tidak berapa baik, apabila orang yang tiada apa-apa diangkat menjadi wira, kegagalan diraikan dan hanya satu perlawanan digunakan sebagai penanda aras.

Itulah mood yang ditampilkan Khamis lalu oleh pengulas televisyen pada tayangan siaran langsung aksi perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan yang berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Dia menjerit dengan penuh gembira dan menaburkan pujian yang luar biasa susulan semangat juang Harimau Malaya. Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga menyatakan yang dia turut menangis.

Kita layak ke pusingan seterusnya? Tidak.

Kita mengakhiri kejohanan di tangga tercorot kumpulan? Ya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menteri belia dan sukan sedar akan perkara ini? Ya.

Jadi, kenapa mereka pemurah sangat dengan duit rakyat?

“Saya telah melihat, menyaksikan pertarungan hebat Harimau Malaya malam tadi, (ia) menunjukkan keupayaan, kesungguhan, semangat mereka yang tidak gentar.

“Walaupun kalah dalam dua pertarungan tapi menunjukkan satu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat, bertarung dengan satu pasukan yang kuat, Korea Selatan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka. Mara terus dan kerana menunjukkan semangat sedemikian, atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan telah bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta kepada FAM.

“Ia adalah supaya FAM dapat mengurus pasukan bola sepak dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Tetapi adakah dia menonton kekalahan Malaysia 4-0 menentang Jordan dan 1-0 dengan Bahrain?

FAM tidak kekurangan duit

Kalau setakat tunjuk sikap dan kekuatan dalam sebuah perlawanan boleh mendapat merit ganjaran sebanyak RM5 juta, saya serahkan kepada pembaca untuk bayangkan betapa banyak akan dibelanjakan jika pasukan kebangsaan layak ke pusingan seterusnya.

FAM bukan kekurangan duit. Malah ia persatuan sukan yang terkaya dalam negara. Mereka mendapat jutaan ringgit daripada penajaan, hak penyiaran televisyen, jualan tiket perlawanan dan juga geran daripada badan induk, Fifa.

Perkara yang paling penting, adakah Anwar dan Yeoh tahu yang 14 orang daripada 23 pemain adalah orang asing?

Antara mereka menjadi rakyat Malaysia, atau pemain “naturalisasi”, melalui kaedah pintu belakang,  ketika ratusan anak kelahiran Malaysia dilarang pergi sekolah atas sebab-sebab teknikal.

Jumlah yang sama dicatatkan dalam kes wanita asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dinafikan kerakyatan.

Dengan banyaknya duit dan tambahan RM5 juta dalam tangan sekarang ini, penguji bakat, ejen dan atlet yang beraksi di pelbagai pasukan akan membanjiri ibu pejabat FAM di Kelana Jaya untuk mengambil kesempatan.

Mungkin ada antara mereka yang telah ditolak dari benua Afrika dan Eropah dan tidak mengejutkan jika mereka diterima dengan tangan terbuka oleh negara ini.

Kesudahannya, meritokrasi akan dicampak ke luar tingkap dan kita akan terus memberi ganjaran kepada pihak yang tidak berapa baik.

Jurulatih Manchester City berkata: “Bukanlah sukan kalau tiada hubungan antara usaha dan kejayaan. Bukanlah sukan bila kejayaan itu dijamin sejak mula. Bukanlah sukan jika tidak kisah jika kamu kalah.”

Adakah kita tidak kisah untuk kalah lagi selagi ganjaran diberikan?


R NADESWARAN memulakan kariernya sebagai wartawan sukan dan masih mengikuti bidang itu. Dia boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

[Baca ulasan asal dalam bahasa Inggeris]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS