Ketika kegembiraan mengikat pasukan gergasi Asia Korea Selatan masih terasa susulan persembahan menakjubkan skuad Harimau Malaya, timbul persoalan di mana silapnya dan mengapa Malaysia gagal layak ke pusingan 16 terbaik saingan Piala Asia 2023.
Di sebalik jurang perbezaan besar dalam ranking dunia, Malaysia di posisi ke-130 telah berjaya menafikan Korea Selatan di tangga ke-23 daripada mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub di Doha, malam tadi.
Aksi itu merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait, yang juga edisi terakhir pasukan negara berjaya melayakkan diri secara merit ke pertandingan bola sepak terulung Asia itu.
Semangat serta kesungguhan ditampilkan anak buah Kim Pan Gon yang bangkit daripada ketinggalan dua kali dan berjaya mendahului perlawanan 2-1 pada satu ketika, demi memastikan maruah negara terbela dengan tidak pulang tangan kosong, sememangnya wajar dipuji dan mencerminkan kualiti dimiliki mereka.
Mungkin bagi sesetengah pihak, keputusan dicatatkan berdepan skuad Taegeuk Warriors itu sudah cukup memadai buat Malaysia yang membuat penampilan semula di pentas Piala Asia selepas 17 tahun sejak kali terakhir menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Mungkin bagi sesetengah pihak juga, keputusan itu serta kekalahan 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain pada dua aksi pertama saingan kumpulan, yang menyaksikan Malaysia meraih satu mata, sebagai permulaan positif susulan kejayaan layak secara merit ke Piala Asia selepas lebih empat dekad.
Berdasarkan prestasi skuad bimbingan Pan Gon yang merakam 18 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan daripada keseluruhan 27 perlawanan dalam semua pertandingan kompetitif sebelum ke sini, Malaysia sebenarnya memiliki peluang cerah untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Pan Gon juga membawa 26 pemain yang dianggap terbaik di dalam negara dengan separuhnya terdiri daripada pemain pasukan gergasi Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memiliki pengalaman bernilai dikutip dalam penampilan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Daripada keseluruhan 26 pemain, empat merupakan pemain naturalisasi iaitu Endrick Dos Santos, Mohamadou Sumareh, Paulo Josue dan Romel Morales yang mempunyai kelebihan dari sudut fizikal yang lebih besar untuk menambah keupayaan pasukan.
10 pemain lagi merupakan pemain berdarah kacukan iaitu Matthew Davies, Daniel Ting, Dominic Tan, Junior Eldstal, Dion Cools, La’vere Corbin-Ong, Stuart Wilkin, Brendan Gan, Natxo Insa dan Darren Lok manakala baki 12 pemain ialah anak watan.
Malaysia berada di posisi empat terakhir dalam senarai skuad termuda berdasarkan purata umur pasukan bertanding kali pada kempen kali ini dengan 28.7 tahun di depan China (29.2), Iran (29.5) dan Lubnan dengan 29.9 tahun.
Sementara Indonesia menghantar skuad termuda dengan purata 24.3 tahun diikuti Tajikistan (24.7), Kyrgyzstan (25), Vietnam (25.4) dan Emiriah Arab Bersatu melengkapkan senarai lima pasukan termuda dengan purata 26 tahun.
Dengan kelebihan sebagai skuad lebih matang dan berpengalaman serta berbekalkan prestasi yang memberangsangkan selain persediaan rapi menjelang perjuangan di sini, Malaysia dilihat sekurang-kurangnya mampu melangkah lebih jauh.
Indonesia, dengan skuad termuda dan menghuni ranking lebih rendah di posisi ke-146, mencipta kejutan apabila berjaya mengesahkan tempat di pusingan kalah mati walaupun hanya mengumpul tiga mata selepas muncul antara empat pasukan di tempat ketiga terbaik.
Tajikistan yang membuat penampilan sulung turut mencuri tumpuan apabila mara ke pusingan 16 terbaik selaku naib juara Kumpulan A, malah Palestin yang berdepan kesukaran ekoran peperangan di Gaza juga berjaya ke pusingan seterusnya selepas menamatkan saingan Kumpulan C di tempat ketiga.
Mengulas mengenai penampilan Malaysia di sini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pengalaman yang diraih amat berharga dan akan memberi manfaat kepada pasukan dalam misi mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Setelah sekian lama tak masuk ke Piala Asia yang diibaratkan Piala Dunia Asia, pengalaman ini bukan saja untuk pemain tetapi juga Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihan dari segi persekitaran dan persiapan sebelum, semasa dan selepas kejohanan.
“Semua ini boleh dibawa dalam misi dan sasaran kita menghadapi baki pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia. Mustahaknya kita perlu terus konsisten layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media rangkuman prestasi skuad Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 di sini.
Secara keseluruhan, prestasi Malaysia yang mengumpul satu mata dengan tiga gol serta dibolosi lapan gol di sini lebih baik berbanding pencapaian pada edisi 2007, yang menyaksikan Malaysia gagal mengutip sebarang mata menerusi jaringan satu gol dan bolos 12.
Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Asia adalah di Kuwait apabila mengumpul empat mata dengan menjaringkan lima gol dan bolos lima.
Malaysia ketika ini berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan mereka kini mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0, November lepas.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac dan menjadi tuan rumah kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan pada 11 Jun.
- Bernama