Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pesaka pergiat lobi silat ke Sukan Asia 2026
Diterbitkan:  Dec 18, 2023 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Usaha melobi untuk acara silat kembali tersenarai dalam program Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sedang dipergiat, selepas acara itu diketepikan daripada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang berlangsung pada September lepas.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata kesepakatan telah dicapai untuk menyenaraikan kembali silat di Sukan Asia pada Kongres Silat Asia dihadiri beliau di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas.

“Permohonan baharu untuk silat dimasukkan semula sebagai acara dipertandingkan di Sukan Asia telah dilaksana. Kali terakhir silat menyertai temasya itu ialah di Sukan Asia Jakarta-Palembang (2018) sebelum China (Hangzhou) mengeluarkannya.

Perbincangan juga sedang dilaksanakan bagi meyakinkan Persatuan Pencak Silat Jepun (JPSA) selain beberapa pendekatan dilakukan Persekutuan Pencak Silat Asia (APSIF) telah dipersetujui pada mesyuarat kongres tersebut,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Megat Zulkarnain (gambar, atas) berkata antara pendekatan digunakan APSIF termasuk dengan menggunakan suara negara anggota dalam Majlis Olimpik Asia (OCA) seperti India, China, Jepun selain negara Asia Tenggara lain dalam usaha melobi acara silat kembali membuat kemunculan.

"Tanda-tanda positif awal sudah kita dapat di peringkat APSIF. Selain itu, dengan penyertaan kuasa baharu silat yang menyertai dari bumi Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Yemen dan Iran.

"Ini akan membantu supaya taburan negara dalam Asia untuk sukan silat ini adalah cukup kuat. Kita sedang melobi dan mudah-mudahan usaha kita berjaya pada Sukan Asia akan datang," katanya.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, skuad silat negara gagal membawa pulang sebarang pingat emas apabila hanya meraih empat perak dan empat gangsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS