Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
JDT sekali lagi dinobat juara Piala Malaysia
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 11:12 PM
Dikemaskini: 4:47 PM

Johor Darul Ta'zim (JDT) dinobat sebagai juara Piala Malaysia 2023 apabila berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kejayaan buat kali keempat itu menyaksikan JDT mengesahkan kejayaan treble buat musim kedua berturut-turut selepas dinobatkan juara Piala FA Julai lalu dan Liga Super September lepas.

Skuad Harimau Selatan itu membuka tirai jaringan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit keenam perlawanan susulan terjahan keras Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.

Peledak berbisa JDT, Bergson da Silva mudah menyempurnakan sepakan untuk menewaskan Suhaimi Husin di depan gawang Terengganu FC.

Pada minit ke-21, giliran Terengganu pula dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, S. Logeswaran selepas Ivan Mamut dijatuhkan oleh kapten JDT, Jordi Amat di dalam kotak penalti.

Penyerang kelahiran Croatia itu dengan tenang merembat masuk ke gawang gol TFC, sekali gus menewaskan penjaga gol Syihan Hazmi.

Namun pemain pertahanan, Feroz Baharudin kembali meletakkan JDT di hadapan 2-1 selepas menyudahkan sepakan penjuru yang diambil Heberty Fernandes.

Feroz yang dimasukkan pada minit ke-63 bagi menggantikan Shane Lowry berjaya melonjak tinggi untuk melakukan tandukan, sekali gus menewaskan Suhaimi Hussin di pintu gol Terengganu FC.

Arif Aiman Hanapi menoktahkan kemenangan JDT apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Shahrul Nizam Ros Hasni.

Untuk rekod, ini merupakan kejuaraan Piala Malaysia kali keempat dimenangi Harimau Selatan selepas musim 2017, 2019, 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS